PENTADBIRAN KEDAH TERAPKAN PERPADUAN PELBAGAI KAUM
PENTADBIRAN KEDAH TERAPKAN PERPADUAN PELBAGAI KAUM ALOR SETAR – Kerajaan negeri memperuntukkan RM130 ribu untuk masyarakat India sempena sambutan perayaan Deepavali. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri perlu memastikan tiada kaum yang terpinggir dari menerima kemudahan dan bantuan malah pihak berkemampuan digalakkan untuk turut menyalurkan sumbangan. "Kita juga akan sampaikan 1,000 hamper kepada 1,000 penerima sempena perayaan Deepavali tahun ini. "Nilainya tidaklah begitu besar, tetapi ianya sebagai tanda ingatan kerajaan kepada masyarakat India yang mendiami negeri ini," ujar Sanusi. Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Deepavali 2024 di Wisma Darul Aman, Alor Setar. Tambahnya, perkara ini juga seiring dengan dasar yang disebutkan saban tahun, orang miskin boleh berteduh, orang kaya menabur bakti. Jelasnya lagi, kesemua penerima sumbangan dipilih di kalangan warga miskin yang disenaraikan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) di kawasan majoriti berketurunan India, dan penyerahan akan dibuat melalui PKWR masing-masing. "Saya sedaya upaya cuba untuk memenuhi tuntutan daripada semua pihak, dan berharap tidak ada pihak yang merasa terpinggir di negeri ini," jelas beliau. Sanusi berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sumbangan kepada 10 buah sekolah sebanyak RM5,000 dan dua buah sekolah sebanyak RM10,000 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM70,000. "Saya harap kita dapat memerintah dan mentadbir dengan seadil-adilnya dan saya turut mengharapkan saudara-saudara dari masyarakat India tidak ada yang terkilan dan teruslah memberi sokongan supaya usaha kita secara bersatu padu akan terus memberi semangat untuk kita bekerja dengan lebih baik pada masa akan datang," katanya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #thegreaterkedah #mbkedah -UPDA 10/28/2024, 11:25:52 PM
Post a Comment