BAJET 2025 BUKTI KOMITMEN KERAJAAN NEGERI PERKASAKAN SISTEM PERUNDANGAN SYARIAH
BAJET 2025 BUKTI KOMITMEN KERAJAAN NEGERI PERKASAKAN SISTEM PERUNDANGAN SYARIAH ALOR SETAR- Keprihatinan Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta dalam bajet 2025 untuk menaik taraf Mahkamah Syariah Kuala Muda membuktikan komitmen kerajaan negeri memperkasa sistem perundangan syariah. ADUN Pengkalan Kundor, YB Mardhiyyah Johari berkata Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dengan memasukkan Mahkamah Syariah serta pertambahan hiraki Mahkamah Syariah, seterusnya kini menaiktaraf fasiliti Mahkamah Syariah adalah bukti kesungguhan kerajaan negeri. "Saya ingin mengambil kesempatan persidangan sidang dewan yang mulia ini untuk menyatakan bahawa usaha Kerajaan Negeri Kedah dalam memperkasa perundangan syariah begitu terserlah kesungguhannya," ujarnya dalam sesi perbahasan Sidang Bajet 2025 Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini. Tambahnya, kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan penting dalam konteks nasional sebagai pihak yang mahu memastikan perundangan ini terpelihara dalam negara. Mardhiyyah Johari turut mencadangkan agar kerajaan negeri melalui pihak berkuasa agama Islam serta badan-badan berkanun berkaitan agama Islam termasuk NGO Islam memohon untuk terlibat di dalam setiap kes yang mencabar enakmen-enakmen syariah sama ada sebagai pencelah (intervener), 'watching brief' (peguam pemerhati) atau 'amicus curiae' (sahabat mahkamah). "Jangan dibiarkan kes-kes yang mencabar keabsahan atau mempertikai enakmen syariah ini tanpa kita terlibat sebagai pihak, sebagai tanda kebersamaan kita dalam mempertahankn perundangan syariah di peringkat nasional," katanya. #sidangbajetkedah2025 #urussetiapenerangandarulaman -UPDA 11/26/2024, 12:45:17 PM
Post a Comment