CUKAI PBT SETANDING PERKHIDMATAN YANG DITAWARKAN
ALOR SETAR – Kehadiran atlet dari setiap Pihak Berkuasa Tempatan di Malaysia mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keupayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara untuk menguatkuasakan peraturan yang diletakkan mampu menjadikan kehidupan di bandar lebih teratur dan tersusun.
Tambahnya, beliau dimaklumkan bahawa kejohanan sukan persatuan PBT pada kali ini merupakan sejarah penyertaan paling ramai sejak dianjurkan.
“Saya dimaklumkan bahawa 40 pihak berkuasa tempatan telah menyertai kejohanan bola sepak 9 sebelah dan 31 pihak berkuasa tempatan menyertai kejohanan bola jaring,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) 2024 di Dewan As-Sakinah, Menara Majlis Bandaraya Alor Setar, Alor Setar.
Jelasnya, suatu ketika dahulu PBT pernah menjadi salah satu tempat penumpangan atlet-atlet sukan sebelum sukan berubah kepada format yang lain.
“Selepas sukan telah berubah formatnya, Pihak Berkuasa Tempatan sudah tidak mengambil atlet-atlet sukan untuk dijaga, maka sukan menjadi suram.
“Saya mencadangkan kepada Datuk Bandar, tahun depan mungkin kita boleh ambil beberapa atlet yang hebat dalam sukan untuk dilatih menjadi pegawai kakitangan di kerajaan tempatan dan sukan kita akan meriah semula,” ujar beliau.
Jelasnya lagi, Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan ini dilihat sebagai sebuah persatuan yang kuat dan kukuh bagi menjaga serta membawa PBT di Malaysia setanding dengan PBT besar di negara lain.
“Saya berharap dengan adaanya Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan samada dari aspek sukan, inovasi, perhubungan antarabangsa dan sebagainya akan dapat membantu semua PBT menyelesaikan masalah berkaitan isu-isu dan masalah yang berbangkit.
“Saya doakan semua PBT di seluruh negara akan mencapai satu tahap atau prestij yang membanggakan seluruh PBT di negara kita,” ucapnya.
Post a Comment