JABATAN MUFTI NEGERI KEDAH KOMITED LAHIRKAN ILMUAN BERWIBAWA
JABATAN MUFTI NEGERI KEDAH KOMITED LAHIRKAN ILMUAN BERWIBAWA ALOR SETAR – Usaha gigih Jabatan Mufti Negeri Kedah memperkasakan pengurusan tauliah mengajar berjaya melahirkan lebih ramai ilmuan dalam menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha ini selari dengan polisi kerajaan negeri yang sentiasa komited meningkatkan kualiti penyampaian ilmu yang berkesan dan sistematik dalam kalangan umat Islam di negeri ini. "Sesungguhnya langkah mewajibkan para pelajar agama mendapatkan tauliah mengajar daripada pihak berkuasa bukanlah untuk menganggu penyebaran ilmu kepada masyarakat, tetapi untuk memastikan kuliah-kuliah yang dibawa adalah berasaskan manhaj yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini," jelas beliau. Tambahnya, usaha yang dilakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah juga adalah usaha bagi memastikan rahmat yang dibawa oleh para pendakwah terdahulu terus dijaga dan terpelihara manhajnya. "Adalah menjadi kewajipan ulil amri, pemerintah, untuk meletakkan garis-garis besar yang menjadi sempadan yang jelas dalam perkara-perkara pokok agama, berdasarkan sumber-sumber yang muktabar. "Sementara itu, hal-hal furu' mampu ditangani dengan kefahaman yang tidak menimbulkan pertelingkahan," ujarnya. Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar. Sanusi berkata, kesungguhan para asatizah sangat penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat untuk berpegang teguh kepada agama Islam dengan sebaik-baiknya. "Jauhilah perpecahan dan bersikap bijaksana dalam mendepani masyarakat, samada sesama Islam mahupun bukan Islam, tanggungjawab yang paling utama kita sebagai pendakwah adalah berdakwah dengan hikmah dan hasanah," kata beliau. Jelasnya, kesatuan umat Islam di negara ini sedang mendepani cabaran dan situasi membimbangkan yang datangnya dari dalam dan luar negara. "Mudah-mudahan, tauliah mengajar yang diperoleh ini akan menjadi platform terbaik bagi mengukuhkan lagi pengajaran agama Islam dalam kalangan masyarakat supaya mereka dapat menghayati kehidupan mereka berteraskan syariat Islam," katanya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MBKedah -UPDA 11/14/2024, 3:01:57 PM
Post a Comment