KEBAJIKAN PEKERJA TERJAMIN MENERUSI PENYEDIAAN ASRAMA PEKERJA BERPUSAT
KEBAJIKAN PEKERJA TERJAMIN MENERUSI PENYEDIAAN ASRAMA PEKERJA BERPUSAT KULIM – Penyediaan Asrama Pekerja Berpusat (Centralised Labour Quarters-CLQ) berjaya disiapkan menerusi Syarikat Beaver & Kujaya mengikut ketetapan yang telah ditentukan oleh International Labour Organization. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, CLQ merupakan solusi jangka panjang bagi memastikan kawalan dan penginapan yang kondusif di samping mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang selamat, bersih dan sistematik. "Kita sedia maklum bahawa pekerja terutama yang bukan warga tempatan di dalam kawasan yang bercampur dengan penduduk awam yang berlainan latar belakang dalam suasana yang tidak terurus dan terkawal boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial dan rungutan," katanya. Jelasnya, penyediaan asrama yang sistematik amatlah diperlukan supaya dapat menghasilkan peningkatan terhadap pertumbuhan dan produktiviti dari sektor industri hasil melalui pengurusan pekerja yang teratur. "Kerajaan Negeri Kedah akan terus mengorak langkah secara proaktif memberi tumpuan dan sokongan kepada pihak swasta membangunkan sektor industri, khususnya industri berteknologi tinggi demi meningkatkan ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi dengan sasaran utama untuk menyediakan peluang pekerjaan yang seluas-luasnya kepada warga negeri ini," jelas beliau. Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Asrama Pekerja Berpusat di Kediaman Pekerja Waja Indah, Kulim. "Saya dimaklumkan bahawa bangunan asrama pekerja yang berkonsepkan dorm dikenali kediaman pekerja Waja Indah boleh memuatkan seramai 2,560 orang pekerja," jelasnya. Sehubungan dengan itu, beliau turut mengingatkan agar syarikat-syarikat dan pemaju menyegerakan pemindahan pekerja yang masih menggunakan taman perumahan mahupun rumah kedai ke CLQ. "Sesungguhnya TLQ di mana tuan-tuan selaku majikan menempatkan pekerja selama ini, haruslah bersifat alternatif sementara semata-mata, jangan jadikan TLQ sebagai penempatan kekal atau berterusan tanpa ada sebarang langkah dan keinginan untuk memindahkan mereka (pekerja) ke CLQ. "Di pihak Kerajaan Negeri, kita mahu kebajikan pekerja sentiasa diberikan perhatian oleh semua majikan bagi mengelakkan sebarang kecuaian mahupun ketidakpatuhan pada Akta 446," katanya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MbKedah -UPDA 11/21/2024, 9:00:43 PM
Post a Comment