Header Ads

test

KEDAH AGRI SAFARI JADI TARIKAN PELANCONGAN BAHARU DI KEDAH


KEDAH AGRI SAFARI JADI TARIKAN PELANCONGAN BAHARU DI KEDAH KUBANG PASU - Projek Kedah Agri Safari (KAS) yang bertemakan pertanian dan penternakan ini berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di Kedah. Pengerusi Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, pelancong akan mempunyai pilihan untuk meneroka aktiviti pertanian dan penternakan di Malaysia melalui lawatan ke KAS selain aktiviti menjamu selera, info-hiburan dan jual beli. Tambah beliau, konsep utama KAS iaitu INFO-LIBUR-SANTAP memberi maklumat dan penekanan kepada konsep keterjaminan makanan, aktiviti liburan serta boleh menjadi program tanggungjawab sosial korporat syarikat bagi beberapa sektor seperti pembangunan usahawan dan juga pemasaran produk. "Saya melihat projek ini mampu menjadi daya penarik sektor pelancongan di utara Kedah yang mana sekurang-kurangnya dapat mengalihkan sedikit tumpuan rakyat Malaysia dari ke negara jiran. "Sekaligus akan mewujudkan peluang kepada KLPK untuk membangunkan ekonomi setempat," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Program Lawatan ke Ladang Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah (KLPK) Ternak dan Pelancaran Projek Kedah Agri Safari di Ladang Satelit Nasional (LSN), Sungai Laka, Bukit Kayu Hitam hari ini. Jelasnya lagi, projek ini dijangka mampu mewujudkan hampir 80 peluang pekerjaan pelbagai peringkat dan akan mengutamakan pekerja tempatan dari kawasan berdekatan. Menurut beliau, KLPK akan bergerak lebih proaktif bagi meneroka peluang dan teknologi baharu dalam memperkemaskan lagi aktiviti di dalam projek dan setiap kekurangan yang ada dikenalpasti serta ditangani bagi mengelakkan sebarang kekangan pada masa hadapan. #UPDA #urussetiapenerangandarulaman -UPDA 11/5/2024, 3:00:16 PM 

Tiada ulasan