Header Ads

test

KEDAH BERTEKAD BANGUNKAN INDUSTRI REE MENJELANG 2025


KEDAH BERTEKAD BANGUNKAN INDUSTRI REE MENJELANG 2025 ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah optimis untuk membangunkan industri unsur nadir bumi (REE) sebagai salah satu sumber ekonomi baharu menjelang tahun 2025. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiga syarikat telah diberi kelulusan Lesen Eksplorasi (EL) untuk meneroka potensi beberapa kawasan tertentu. "Jabatan Alam Sekitar tertakluk kepada dasar kementerian yang sedang berkuatkuasa melalui polisi 12, dan polisi tersebut tidak menyokong sebarang usaha melombong dalam hutan simpan," katanya. Tambahnya, proses eksplorasi dijalankan dengan mengambil sampel dan menganalisis kandungan REE menggunakan teknologi moden, termasuk kaedah In-Situ Leaching yang lebih mesra alam. "Cabaran utama ialah mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) kerana kebanyakan kawasan yang berpotensi adalah dalam hutan simpan. "Semua pihak mengakui bahawa REE akan menjadi sumber ekonomi baharu negeri dan negara, tetapi ianya tidak berlaku apabila di peringkat polisi 12," jelasnya sewaktu sesi perbahasan Sidang Bajet 2025 Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini. Sanusi berkata, polisi Persekutuan yang melarang perlombongan dalam hutan simpan menjadi penghalang besar. "Walaupun begitu, kerajaan negeri tekad untuk mematuhi semua peraturan dan SOP bagi memastikan manfaat ekonomi ini mendatangkan hasil yang maksimum kepada negeri dan jaminan kepada rakyat negeri Kedah," ujarnya. Jelasnya lagi, Kedah juga bercadang untuk membina kilang pemprosesan REE di beberapa lokasi strategik seperti Gurun dan Kulim, sejajar dengan dasar Persekutuan untuk memproses bahan mentah dalam negara. "Apabila kita gunakan kaedah In Situ Leaching, ia tidak melibatkan tebangan pokok dan perkara ini telah dibentangkan oleh pelabur yang berminat dalam mineral REE. "Kami bertekad untuk memastikan pembangunan industri REE ini dapat direalisasikan, walaupun terdapat cabaran besar di hadapan, Kedah mahu menjadi peneraju dalam industri ini menjelang 2025," tegasnya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #sidangbajet2025 #UPDA -UPDA 11/26/2024, 2:30:46 PM 

Tiada ulasan