Header Ads

test

NMEC DORONG USAHAWAN KEDAH TEROKA PELUANG BAHARU DALAM PERNIAGAAN


NMEC DORONG USAHAWAN KEDAH TEROKA PELUANG BAHARU DALAM PERNIAGAAN ALOR SETAR - Kerajaan negeri menerusi Northen Malaysia Entrepreneur Conference (NMEC) 2024 memainkan peranan penting bagi menghubungkan para usahawan dengan pelbagai sumber termasuk pengetahuan, jaringan dan peluang pelaburan. Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat India, Cina & Siam dan NGO, YB Wong Chia Zhen berkata, melalui NMEC, usahawan di Kedah dapat mengakses strategi inovatif bagi memperkukuh daya saing mereka dalam pasaran yang semakin kompleks. Katanya, program ini merupakan satu inisiatif yang amat relevan dalam konteks cabaran ekonomi global pada masa kini. "Sebagai usahawan, kita perlu mempunyai keupayaan untuk beradaptasi dan meneroka peluang-peluang baharu yang akan memacu kemajuan perniagaan. "Justeru, saya amat berharap agar persidangan ini menjadi platform yang bermakna bagi semua yang hadir, untuk berkongsi ilmu, membina jaringan perniagaan dan mendapatkan inspirasi daripada pengalaman kejayaan para penceramah yang dijemput khas," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Northen Malaysia Entrepreneur Conference (NMEC) 2024 yang berlangsung di Alor Setar, semalam. Tambah beliau lagi, selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, beliau sentiasa komited dalam usaha untuk menyokong pertumbuhan sektor keusahawanan melalui pelbagai program dan inisiatif. "Saya percaya bahawa usahawan merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, dan membantu mengurangkan kemiskinan di kalangan masyarakat setempat. "Seiring dengan visi The Greater Kedah, kerajaan negeri Kedah akan terus memperkasakan usahawan dengan bantuan kewangan, latihan dan peluang pasaran yang lebih luas," jelas Wong lagi. Beliau mengharapkan agar para usahawan dapat bersaing bukan sahaja di peringkat nasional, malah di arena antarabangsa. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UPDA #urussetiapenerangandarulaman -UPDA 11/11/2024, 3:30:03 PM 

Tiada ulasan