Header Ads

test

Lawatan Kerja YAB MB Kedah ke Baraj Lembangan Sungai Muda.



Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama dengan barisan EXCO Negeri Kedah telah diberikan taklimat berkenaan pengoperasian Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda oleh Pengarah Operasi, Ir Asnol Adzhan Abd Manap.

Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) ditubuhkan pada tahun 2014 dan bertanggungjawab dalam mengurus Lembangan Sungai Muda dan sumber air Empangan Beris.

Penubuhan PLSM ini adalah kesinambungan siapnya Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Muda dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM1.1 bilion.

Pembinaan projek ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan banjir akibat limpahan Sungai Muda, memberi keselesaan dan keselamatan kepada para penduduk dan harta benda serta meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk setempat.

Manakala Rancangan Pengurusan Sumber Air Empangan Beris pula, yang telah siap beroperasi tahun 2006 dengan kos projek sebanyak RM355 juta adalah bagi pengurusan sumber air, tebatan banjir, pengairan dan bekalan air.

PLSM berperanan dalam pengurusan air Lembangan Sungai Muda sepanjang tahun melalui operasi banjir dan operasi kemarau yang dilaksanakan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Operasi banjir bertujuan bagi memantau aras sungai, kawasan berisiko banjir (red zone), kesan air pasang surut dan taburan hujan yang direkodkan melalui stesen telemetri dalam lembangan Sungai Muda.

Manakala, operasi kemarau dijalankan berdasarkan penyelarasan pengambilan air Sungai Muda, pengawalan dan pelepasan air Empangan Beris melalui kerjasama antara Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan PLSM sebagai Jabatan Teknikal.

Justeru itu, permohonan pemberimilikan tanah (Plot 2) adalah diperlukan kerana melibatkan sambungan struktur baraj dan laluan masuk di dalam kawasan PLSM.

Pihak PLSM mengharapkan usaha ini mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa MMKN Kedah bagi menjamin kelestarian dan keselamatan struktur baraj PLSM sekaligus meningkatkan kualiti pengurusan air di lembangan Sungai Muda.

Tiada ulasan