SEGERAKAN SOP DALAM PENGEKSTRAKAN REE – MB KEDAH
SEGERAKAN SOP DALAM PENGEKSTRAKAN REE – MB KEDAH ALOR SETAR – Dasar sedia ada tidak membenarkan aktiviti perlombongan dalam kawasan hutan simpan menjadi penghalang utama kepada pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) di Kedah. Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, polisi di dalam Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menetapkan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan telah menyekat usaha pembangunan industri terutama dalam industri bateri kenderaan elektrik (EV). "Kementerian Sumber Asli tidak mempunyai polisi menyokong sebarang perlombongan dalam hutan simpan. Bila tidak ada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), tidak akan ada lesen perlombongan, jadi tak boleh extract lagi sehingga kementerian buat keputusan," katanya. Jelasnya, rizab REE yang dijangka diekstrak dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan anggaran jumlah 1.196 juta tan metrik mampu memberi impak besar kepada ekonomi negeri Kedah. "Saya dah cadangkan supaya perlu perbaiki polisi tersebut, baru Jabatan Alam Sekitar boleh buat EIA, bila EIA ada, baru boleh dapat lesen perlombongan, baru boleh buat pelombongan REE," katanya pada sidang media selepas Pembentangan Bajet 2025 di sini, hari ini. Tambahnya, Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan SOP yang betul dalam pengekstrakan unsur nadir bumi. "Kita tak mahu melakukan kerja tak mengikut undang-undang. Kita nak buat kerja berdasarkan undang-undang, prosedur dan SOP yang betul," tegasnya. Menurutnya, perkara ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Mineral Negara dan Majlis Tanah Negara, dan mendapat perhatian serius daripada Perdana Menteri. Jelasnya, terdapat cubaan sesetengah pihak yang mengisytiharkan REE sebagai mineral lain seperti lantanida atau bauksit bagi mengelak daripada mematuhi prosedur yang ditetapkan. "Untuk rekod, REE merupakan bahan mineral strategik yang mendapat permintaan tinggi dalam industri teknologi moden, terutamanya dalam pembuatan bateri untuk kenderaan elektrik. "Dengan usaha serta komitmen yang tinggi semua agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan, kita yakin sasaran untuk mencapai hasil Kerajaan Negeri satu bilion ringgit (RM1 bilion) dalam tempoh dua tahun akan datang, mampu untuk dicapai," ucapnya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #sidangbajet2025 #UPDA -UPDA 11/24/2024, 3:45:36 PM
Post a Comment