Header Ads

test

FOKUS PENDIDIKAN ANAK-ANAK - MB KEDAH

Sik – Ibu bapa disarankan memberi tumpuan yang semaksimum mungkin kepada pendidikan anak-anak agar dapat melanjutkan pengajian sehingga ke institusi pengajian tinggi.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihak kerajaan boleh menyediakan kemudahan dari sudut pendidikan, tetapi tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak merupakan peranan yang amat penting dalam mencapai perkara tersebut.
"Saya cakap berulang kali di banyak tempat, khususnya kepada ibu bapa di Kedah, supaya memberikan perhatian yang lebih kepada pendidikan anak-anak," katanya.
Tambahnya, beliau turut mengingatkan bahawa keperluan pasaran kerja masa kini semakin mencabar, dan anak-anak perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang sesuai.
"Pastikan anak-anak kita menamatkan pengajian mereka hingga ke peringkat ijazah. Zaman sekarang, keperluan ilmu dan kemahiran amat penting, dan anak-anak perlu mencapai tahap pendidikan yang tinggi untuk bersaing." tegasnya.
Beliau berkata sedemikian sewaktu program Back to School 2025: Sumbangan Wakalah Zakat PKNK dan TNB di peringkat DUN Jeneri, Sik.
Jelas Sanusi, sekiranya ibu bapa tidak memberi perhatian yang sewajarnya, anak-anak berisiko terpengaruh oleh persekitaran serta kandungan negatif di media sosial yang boleh memberi kesan buruk kepada mereka.
“Ibu bapa pula jangan terpengaruh dengan cara hidup yang memerlukan kepada duit (berlebihan) sehingga mengabaikan tanggungjawab penting dalam pendidikan anak-anak.
“Kita tentukanlah sendiri cara hidup kita, jangan cara hidup kita ditentukan oleh pasaran, sekiranya kita serahkan kepada pasaran dan persekitaran, maka kita akan rosak,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut berharap agar ibu bapa sedar akan kepentingan pendidikan dalam membentuk generasi yang berjaya.
“Pastikan kita menentukan perjalanan hidup kita dengan ilmu dan kemahiran, pastikan dunia sementara ini kita hidup dengan cara terbaik agar di alam abadi (akhirat) kita akan mendapat tempat yang baik di sana.
“Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada PKNK dan TNB dan mudah-mudahan Allah melipatgandakan rezeki dan kejayaan kepada PKNK dan TNB dalam perniagaan yang mereka ceburi,” ucapnya.

 

Tiada ulasan