Header Ads

test

MENTERI BESAR KEDAH DILEPASKAN DAN DIBEBASKAN SEPENUHNYA DARI PERTUDUHAN HASUTAN


SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilepaskan dan dibebaskan secara sepenuhnya daripada sebarang pertuduhan melibatkan hasutan terhadap mantan Yang di-Pertuan Agong.
Berikutan kes pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948, Menteri Besar Kedah dikatakan telah menerima titah pengampunan dari KDYMM pada 14 Februari 2025.
Hakim Mahkamah Tinggi, YA Datuk Aslam Zainuddin telah memutuskan bahawa Menteri Besar Kedah telah dilepaskan dan dibebaskan secara sepenuhnya (Discharge and Acquittal) di atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Pada awalnya, Peguam Negara telah memohon supaya pertuduhan tersebut dilepaskan tanpa dibebaskan (Discharge Not Amounting to Acquittal).
Namun, perkara ini telah diteliti dan diputuskan oleh YA Datuk Aslam Zainuddin setelah mendengar hujahan daripada Peguam Bela bagi pihak Menteri Besar Kedah.
Perbicaraan kes dikatakan mula dibicarakan pada hari ini sehingga 27 Februari 2025, walau bagaimanapun perkara ini telah diputuskan pada hari ini selepas Kamar Peguam Negara menerima perkembangan terbaru berkenaan representasi yang telah dikemukakan oleh Menteri Besar Kedah.
Peguam Menteri Besar Kedah telah diwakili oleh Awang Armadajaya Awang Mahmud, Wan Rohimi Wan Daud, Ahmad Tajudin Abd Razak, Hasshahari Johari Mawi dan Mohd Razlan Jalaludin.
Tambahan, bagi kes pertuduhan melibatkan Sultan Selangor telahpun dibebaskan pada 10 Disember 2024 yang lalu selepas KDYMM Sultan Selangor berkenan memberikan pengampunan kepada Menteri Besar Kedah.

Tiada ulasan