TANWIR RAMADAN: ZAHIRKAN RASA SYUKUR, DAMAI DI HATI
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata melalui penganjuran program yang telah memasuki tahun ke-10 pada tahun ini, penilaian semula terhadap setiap tindakan dalam kehidupan perlu dilakukan bagi melahirkan rasa syukur dan damai di hati.
“Ambil tempoh masa sempena bulan Ramadan untuk melahirkan rasa syukur dan damai.
“Mari kita teliti semula cara kita berbelanja, cara kita membentuk budaya hidup, supaya duit yang kita dapat, rezeki yang kita bawa balik, semuanya bersih, tak ada isu, tak ada masalah, dan semuanya kita tentukan sendiri ke mana wang akan dibelanjakan,” katanya.
Tambahnya, jika kita mampu melaksanakan perkara tersebut, kita akan menemui rasa syukur dan damai di hati.
Jelasnya lagi, kita perlu sentiasa berwaspada terhadap segala perkara di sekeliling kita, terutama melalui pengaruh teknologi dan politik masa kini.
“Saya harap Ramadan 1446H ini, kita mulakan operasi untuk mencantas semua keinginan yang tiada kaitan dengan takwa,” pesannya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Program Tanwir Ramadan 1446H/2025M, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
Beliau turut menyeru semua penjawat awam di negeri Kedah supaya menerapkan nilai-nilai baik dalam madrasah Ramadan, sejajar dengan penerapan nilai-nilai terbaik dalam perkhidmatan awam bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial.
“Sebagaimana kita takut batalnya puasa walaupun tak ada orang tahu di bulan Ramadan, bawalah perasaan itu keluar daripada Ramadan dengan rasa takut apabila kita melakukan kesalahan,” katanya.
Post a Comment