Header Ads

test

BERSATU LINDUNGI SUMBER AIR DAN ALAM SEKITAR


LANGGAR – Pencemaran sungai, penebangan hutan tanpa kawalan dan ancaman perubahan iklim menjadi cabaran utama Kedah dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan sumber air.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, YB Haji Mohamad Yusuf@Munir Haji Zakaria berkata, usaha memelihara alam sekitar dan sumber air memerlukan kerjasama semua pihak agar generasi akan datang dapat menikmatinya dengan selamat.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru seluruh masyarakat untuk berganding bahu menjaga kebersihan dan kelestarian alam, sekaligus memastikan sumber air sentiasa selamat untuk dinikmati generasi akan datang.
“Ketika kita sedang menghadapi cabaran sungai yang tercemar, ada juga sebahagian yang melakukan penebangan yang tidak terkawal dan sumber air kita juga semakin terancam akibat perubahan iklim,” katanya.
Tambah beliau, menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga kelestarian alam demi kelangsungan hidup pada masa kini dan generasi akan datang.
“Sebab itulah kerajaan negeri sedaya upaya melaksanakan agenda melestarikan alam sekitar, untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kelestarian alam, sumber air dan sumber-sumber yang lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Hari Air dan Alam Sekitar Peringkat Pokok Sena Tahun 2025 di Masjid Jame’ Al-Ehsan, Sungai Mati, Langgar.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri kini dalam usaha merangka pembangunan rendah karbon serta memperkasakan pengurusan air secara lestari, di samping memperkukuh pendidikan alam sekitar dan air di peringkat akar umbi.
“Di kesempatan ini saya menyeru supaya kita dapat bersama-sama mengamalkan budaya berhemah dan berjimat cermat menggunakan air, bukan hanya pada musim kemarau tetapi pada musim yang lain juga,” serunya.

Tiada ulasan