Header Ads

test

KFA - PKNK SINERGI BOLA SEPAK KEDAH

 

Komitmen untuk melihat bola sepak Kedah terus kukuh dan berdaya saing diperkemas menerusi kunjungan rasmi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ke atas Ketua Pegawai Eksekutif baharu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Mohd Sahil Zabidi, yang berlangsung di Wisma PKNK.
Kunjungan hormat itu diketuai oleh Naib Presiden KFA, Muhammad Radhi Md Din bersama barisan Ahli Jawatankuasa KFA yang turut disertai Dato’ Syed Yusoff Syed Othman; Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Haji Zulkifli Che Haron serta Penolong Setiausaha Kehormat KFA, Muhamad Farid Ahmad.
Dalam suasana penuh muhibah dan keterbukaan, pertemuan tersebut memberi ruang perbincangan strategik berhubung potensi kerjasama antara KFA dan PKNK, khususnya dalam memperkasa ekosistem bola sepak negeri, daripada pembangunan akar umbi, kebajikan pemain sehinggalah kelestarian pengurusan pasukan.
Menurut Muhamad Radhi, bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi wadah penyatuan rakyat Kedah.
“Bola sepak Kedah adalah identiti dan kebanggaan negeri. Sokongan strategik daripada agensi seperti PKNK amat penting untuk memastikan pembangunan sukan ini berjalan secara mampan dan tersusun," ujarnya.
Sementara itu, Dato’ Mohd Sahil Zabidi menyambut baik kunjungan tersebut dan menzahirkan keterbukaan PKNK untuk meneroka ruang kerjasama yang bersesuaian dengan aspirasi pembangunan negeri.
“PKNK sentiasa melihat sukan, khususnya bola sepak, sebagai medium pembangunan sosial dan ekonomi. Insya-Allah, ruang kerjasama ini akan diteliti sebaiknya demi manfaat bersama,” kata Dato' Mohd Sahil.
Kunjungan ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk menyelaraskan peranan institusi sukan dan agensi pembangunan negeri, demi memastikan bola sepak Kedah terus melangkah ke hadapan sebagai simbol kekuatan, perpaduan dan harapan rakyat negeri Jelapang Padi.

Tiada ulasan