RANGKUMAN PROGRAM YAB MENTERI BESAR KEDAH SEPANJANG BULAN DISEMBER 2025
Sepanjang bulan ini, Menteri Besar Kedah telah melaksanakan pelbagai tugasan rasmi melibatkan aspek pentadbiran negeri, pembangunan ekonomi, pembangunan modal insan, tadbir urus agensi serta pengukuhan hubungan strategik bersama rakan industri dan institusi.
Pada awal Disember, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pengurusan Ladang antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Koperasi Ladang PKNK (KLPK) sebagai langkah memperkukuh pengurusan aset strategik negeri.
Dalam masa sama, beliau turut menyertai sesi riadah pickleball bersama YB Exco Belia dan Sukan sebagai usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan hubungan kerja yang harmoni.
Komitmen Menteri Besar Kedah diteruskan dengan menghadiri sesi temu bual dokumentari 30 tahun Kulim Hi-Tech Park (KHTP), diikuti Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kulim Technology Park Corporation (KTPC) dan SD Guthrie Berhad, mencerminkan usaha berterusan menarik pelaburan strategik ke Kedah. Seterusnya, beliau turut menghadiri 1st Anniversary Malaysia Book of Records BMW RT Gathering sebagai sokongan kepada aktiviti komuniti dan pelancongan permotoran.
Memasuki minggu kedua, Menteri Besar Kedah menerima jemputan ke Kursus Lembaga Pengarah Kumpulan PKNK 2025 serta mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Air Darul Aman (SADA), selari dengan keutamaan kerajaan negeri memperkukuhkan tadbir urus korporat dan perkhidmatan utiliti kepada rakyat.
Pada 9 Disember 2025, beliau merasmikan Majlis Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2050, seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Digital Negeri Kedah dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Kedah Medical Centre (KMC) bagi memastikan pelaksanaan dasar seiring dengan matlamat ditetapkan.
Pada hari berikutnya, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) serta menghadiri Majlis Graduasi Pengurus, Eksekutif dan Perantis Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) SADA. Seterusnya, beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Mineral Negeri Kedah bagi memastikan pengurusan sumber asli negeri dilaksanakan secara mampan dan berintegriti.
Memasuki minggu ketiga, Menteri Besar Kedah terus komited mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Permodalan Kedah Berhad serta mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Kulim Technology Park Corporation (KTPC), selaras dengan usaha memperkukuhkan ekosistem pelaburan dan industri negeri.
Beliau turut menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah bagi membentangkan kemajuan dan pembangunan negeri sebagai acara rutin.
Pada 16 Disember, beliau menghadiri Majlis Penyerahan Mock Cheque daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah LSANK dan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) Bil. 2/2025.
Di samping itu, beliau turut meluangkan masa menyertai sesi riadah pickleball bersama Ketua Pegawai Eksekutif serta kakitangan Menteri Besar Incorporated (MBI) sebagai manifestasi kepimpinan berteraskan kesejahteraan organisasi.
Pada 18 Disember, Menteri Besar Kedah mengadakan lawatan kerja ke Litar Lumba di Terengganu. Komitmen beliau terhadap pembangunan sahsiah belia turut diteruskan dengan perasmian Program Kem Bina Sahsiah Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 yang memberi penekanan kepada pembentukan jati diri dan kepimpinan generasi masa kini.
Sebagai penutup Disember dan tahun 2025, Menteri Besar Kedah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Kedah, menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Profesor Adjung Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) kepada Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Nizam Jaafar serta mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti UniSHAMS.
Seperti kelazimannya, beliau turut mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kedah secara mingguan sepanjang Disember.
Secara keseluruhan, Disember 2025 mencerminkan komitmen berterusan Menteri Besar Kedah dalam menerajui pentadbiran negeri secara berwawasan, inklusif dan berfokuskan kesejahteraan rakyat serta pembangunan mampan negeri Kedah.






Post a Comment