Header Ads

test

KEDAH SALURKAN GERAN BERJUMLAH RM190 RIBU KEPADA 38 PSK

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri terus komited menyokong gerak kerja Majlis Kebajikan Negeri Kedah (MKNK) melalui pemberian geran tahunan berjumlah RM190,000 kepada 38 Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) dengan setiap satu menerima RM5,000 bagi membantu pelaksanaan program serta urusan pentadbiran.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Dato' Halimaton Shaadiah Saad berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya melalui peranan aktif PSK di peringkat komuniti.
"Bantuan itu diharap dapat memperkasa keupayaan pertubuhan dalam melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat, selain memastikan kelancaran pentadbiran organisasi," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-21 Majlis Kebajikan Negeri Kedah di Dewan Sri Mentaloon, di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau menegaskan setiap PSK perlu memastikan laporan disediakan dengan baik bagi melayakkan mereka menerima bantuan berterusan pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri bakal melancarkan Dasar Wanita Negeri Kedah sebagai panduan memperkasa peranan wanita dalam aspek pembangunan bakat, ekonomi, kepimpinan dan kesejahteraan sosial.
Menurutnya, dasar berkenaan dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan wakil masyarakat bagi memastikan wanita tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.
Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap kekurangan penyertaan golongan muda dalam PSK yang boleh menjejaskan kelangsungan pertubuhan kebajikan pada masa depan.
“Mewujudkan pelapis bukan sahaja penting untuk kesinambungan, tetapi juga bagi memastikan PSK terus berkembang dan memberi impak besar kepada masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan