UEC KE IPTA: GPMS KEDAH BANTAH PENGIKTIRAFAN, PERTAHANKAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mendesak Kerajaan Persekutuan menghentikan sebarang usaha memberi pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) demi mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan.
Timbalan Pengerusi GPMS Kedah, Kapten Bersekutu (PA) Amirul Syahir Musa berkata, kerajaan tidak seharusnya membuat keputusan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat majoriti serta implikasi jangka panjang terhadap keharmonian negara.
Menurutnya, isu pengiktirafan UEC bukan sekadar melibatkan akademik, sebaliknya menyentuh soal dasar negara, identiti pendidikan nasional dan masa depan perpaduan rakyat Malaysia.
“Sekiranya kerajaan benar-benar mahu mencari jalan penyelesaian, maka sistem seperti UEC seharusnya diselaraskan di bawah sistem pendidikan kebangsaan dan mematuhi dasar pendidikan negara.
“Bukannya diberikan pengiktirafan secara berasingan sehingga mewujudkan dualisme dalam sistem pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirul Syahir berkata, Malaysia tidak boleh terus bergerak dengan terlalu banyak sistem pendidikan yang akhirnya melahirkan jurang pemikiran, jurang identiti serta jurang perpaduan antara generasi muda.
Katanya, negara ini memerlukan satu sistem pendidikan nasional yang selaras, adil dan menjadi titik penyatuan rakyat tanpa mengira kaum serta latar belakang.
“SPM adalah sistem pendidikan kebangsaan yang sah, diiktiraf dan menjadi asas utama negara sejak sekian lama.
“SPM bukan sekadar peperiksaan, tetapi simbol kepada dasar pendidikan nasional yang dibina untuk menyatukan rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, kedudukan SPM perlu dipertahankan dan tidak boleh diperlekehkan dengan memberi keistimewaan kepada sistem lain yang berada di luar arus pendidikan kebangsaan.
Dalam pada itu, Amirul Syahir berkata, rakyat perlu memahami sejarah serta latar belakang perjuangan Dong Zong yang menurutnya konsisten mempertahankan sistem pendidikan vernakular secara berasingan daripada sistem pendidikan kebangsaan.
Beliau percaya, sekiranya kerajaan terus memaksa pengiktirafan UEC tanpa mengambil kira bantahan rakyat, keadaan itu hanya akan menambahkan kemarahan masyarakat serta mencetuskan ketegangan tidak sihat dalam negara.
“Jangan sesekali memperjudikan perpaduan negara demi kepentingan politik atau tekanan pihak tertentu.
“Hari ini rakyat sedang memerhati, suara bantahan semakin kuat kedengaran daripada pelbagai pihak yang mahu sistem pendidikan kebangsaan dipertahankan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan wajar mendengar denyut nadi rakyat dan tidak bersikap angkuh dalam membuat keputusan melibatkan masa depan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan mengkaji semula isu berkenaan secara menyeluruh serta menghentikan sebarang usaha memberi laluan kepada UEC ke IPTA demi menjaga masa depan perpaduan dan kestabilan negara.
“Jangan rosakkan asas pendidikan negara yang telah dibina sejak sekian lama. Kerajaan perlu memahami rakyat, khususnya orang Melayu, yang semakin kecewa terhadap isu ini. Ia dilihat seolah-olah mencabar kedudukan sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi asas penyatuan negara,” katanya.

Post a Comment