Header Ads

test

KEDAH PERKASAKAN PEMBANGUNAN SUKAN INKLUSIF

 

Ku Azizah Ku Hamid
KUBANG PASU - Kerajaan Negeri Kedah komited memperkasakan pembangunan sukan inklusif bagi memastikan setiap individu tanpa mengira latar belakang atau keupayaan diberikan peluang sama rata untuk berkembang dan mencapai potensi terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, langkah tersebut juga penting dalam membentuk masyarakat yang lebih inklusif, saling menghormati dan menghargai kepelbagaian.
Tambahnya, menerusi Kejohanan Olahraga Orang Pekak Malaysia Kali Ke-6 Tahun 2026, atlet orang pekak membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan apabila berjaya menampilkan prestasi yang membanggakan.
"Atlet orang pekak bukan sahaja hadir sebagai peserta sukan, malah menjadi simbol keberanian dan kecekalan dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
"Semangat juang, disiplin dan ketabahan yang ditunjukkan para atlet menjadi inspirasi kepada masyarakat serta membuktikan bahawa kekuatan sebenar terletak pada keyakinan dan kesungguhan diri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga Orang Pekak Malaysia Kali Ke-6 Tahun 2026 yang menghimpunkan atlet, pegawai dan jurulatih dari seluruh negara di Universiti Utara Malaysia, Sintok, di sini.
Menurut beliau, kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui pingat yang dimenangi, sebaliknya kemampuan bangkit daripada kegagalan serta terus mengejar impian walaupun berdepan pelbagai kekangan.
Muhammad Radhi berkata, sukan mempunyai bahasa tersendiri yang melangkaui batas komunikasi dan membolehkan atlet orang pekak menzahirkan kemampuan mereka melalui prestasi serta pencapaian.
"Komuniti orang pekak merupakan sumber inspirasi besar kepada masyarakat kerana memilih untuk menampilkan kelebihan dan peluang di sebalik setiap cabaran yang dihadapi," ujarnya.

Tiada ulasan