Header Ads

test

MASJID AL-HANA’, MASJID AL-FATEH DINOBAT MASJID TERBAIK KEDAH SEMPENA MAAL HIJRAH

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Masjid Al-Hana’ di Kuah, Langkawi dan Masjid Al-Fateh, Kuala Pegang, Baling masing-masing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Masjid Terbaik kategori Bandar dan Luar Bandar sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darul Aman 1448 Hijrah/2026 Masihi, hari ini.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin mewakili Sultan Kedah berkenan berangkat menyampaikan anugerah kepada kedua-dua masjid berkenaan, yang menerima hadiah wang tunai RM20,000, hadiah iringan serta sijil penganugerahan.
Bagi kategori bandar, anugerah diterima oleh Imam Masjid Al-Hana’, Ustaz Haji Mohd Zahir Mohd Saad, manakala kategori luar bandar diwakili Imam Masjid Al-Fateh, Ustaz Izzat Amin Mohd Nasir.
Masjid Al-Hana’ yang merupakan masjid tertua di Langkawi ditubuhkan pada tahun 1890 dengan nama asal Masjid Al-Qadim sebelum dipindahkan ke tapak sedia ada bagi menampung pertambahan jemaah.
Pembinaan semula masjid itu bermula pada 1958 secara gotong-royong oleh penduduk setempat sebelum diambil alih kerajaan dan siap sepenuhnya pada 1961. Perasmiannya disempurnakan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Pada awalnya, masjid tersebut mampu menampung kira-kira 500 jemaah sebelum beberapa kerja naik taraf dilakukan pada 1995, 2007 dan 2008 sehingga kapasiti meningkat kepada kira-kira 2,500 jemaah.
Masjid Al-Hana’ turut menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara menerusi keunikan seni ukiran kaligrafinya yang dihasilkan pengukir dari Uzbekistan ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Masjid tersebut aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan dan ekonomi termasuk Al Hana’ Mart, Al Hana Café yang menyediakan makanan percuma setiap hari selepas solat Zuhur, bantuan peralatan kepada golongan uzur menerusi Al Hana’ Care serta sumbangan bulanan kepada 85 asnaf kariah.
Kemudahan lain termasuk dewan serbaguna, bilik seminar, kelas pengajian al-Quran dan fardu ain, telaga tiub untuk kegunaan awam, perkhidmatan cucian kenderaan serta kemudahan tandas dan bilik mandi untuk jemaah serta pelancong.
Sementara itu, Masjid Al-Fateh yang mula beroperasi pada tahun 2000 dibina dengan kos RM1.18 juta dan mampu menampung sehingga 900 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid berkeluasan 2,400 kaki persegi itu dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk ruang solat berhawa dingin, bilik mesyuarat, bilik seminar, bilik tetamu, tapak sembelihan, tapak nurseri, gazebo serta laluan mesra orang kurang upaya (OKU).
Antara keunikan masjid itu ialah pembangunan Laman Herba Masjid yang berfungsi sebagai pusat pendidikan dan pembelajaran berasaskan alam semula jadi selain memperkenalkan pelbagai tanaman herba tempatan kepada masyarakat.
Dalam usaha memperkasa pendigitalan, Masjid Al-Fateh turut memperkenalkan Sudut Inovasi Masjid dilengkapi aplikasi berasaskan kod QR bagi urusan pengurusan masjid, kewangan dan akses bahan bacaan digital.
Masjid berkenaan juga aktif melaksanakan program dakwah dan kebajikan di luar kawasan termasuk di Mukah, Sarawak, perkampungan Orang Asli, Patani di Thailand serta Chiang Rai.

Tiada ulasan