SAMBUNGAN AIR TANPA METER DIKESAN, PEMILIK PREMIS DIKENAKAN TINDAKAN
Roslinda Hashim
SIK - Beberapa premis di sekitar daerah ini dikesan melakukan penyambungan bekalan air secara terus tanpa meter daripada paip utama awam.
Ia dikesan ketika operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), baru-baru ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan SADA, susulan itu, notis peringatan telah dikeluarkan kepada premis terlibat selain mengarahkan pemilik atau penghuni premis mengambil tindakan pembetulan dalam tempoh ditetapkan.
“Operasi ini dilaksanakan bagi mengesan dan membanteras aktiviti penyambungan bekalan air secara tidak sah yang melibatkan permohonan bekalan baharu.
“Tindakan penguatkuasaan ini dibuat berdasarkan peruntukan Akta 655 dan Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014.
“Ia melibatkan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan SADA dengan Bahagian Khidmat Pelanggan (Bekalan Baharu) serta Seksyen Penguatkuasaan SPAN Wilayah Utara,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi SADA.
Menurut SADA, hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis disyaki membuat sambungan bekalan air secara terus daripada paip utama tanpa melalui meter sah, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang berkaitan industri perkhidmatan air.
“Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang melarang mana-mana pihak selain pemegang lesen membuat sambungan ke sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.
"Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Selain itu, kes berkenaan turut melibatkan pelanggaran Kaedah 71(1) Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014 yang menetapkan setiap premis yang menerima bekalan air daripada pemegang lesen pengagihan air hendaklah dibekalkan melalui meter yang sah.
Berikutan itu, SADA dan SPAN menegaskan kesalahan itu adalah serius kerana sebarang aktiviti penyambungan bekalan air secara haram boleh menjejaskan integriti sistem bekalan air, mengakibatkan kehilangan hasil serta meningkatkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengguna mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang diminta menyalurkan maklumat kepada SADA atau SPAN bagi tindakan lanjut.
Post a Comment