TENGKU MAHKOTA PAHANG ‘TAWAN’ GUNUNG KERIANG, SANTUNI PENGUNJUNG
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli menyertai aktiviti riadah mendaki Gunung Keriang.
Keberangkatan baginda ke lokasi rekreasi terkenal itu mencerminkan minat baginda terhadap amalan gaya hidup sihat dan kecergasan fizikal.
Ia juga dilihat sebagai sokongan baginda terhadap usaha mempromosikan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
Keberangkatan Tengku Mahkota Pahang itu disambut Komandan Pangkalan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Azman Taib serta Pemangku Pegawai Memerintah Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2), Mejar Noor Fazdli Ahmad.
Sepanjang pendakian hingga ke puncak, baginda turut berkenan beramah mesra dan menyantuni para pengunjung yang sedang menjalankan aktiviti riadah di kawasan berkenaan.
Perkongsian mengenai aktiviti tersebut dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang pada 12 Jun lalu.
Gunung Keriang yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar Alor Setar merupakan formasi bukit batu kapur berusia lebih 250 juta tahun dan berketinggian 217.92 meter dari aras laut.
Keunikan geologi serta nilai warisan semula jadi yang dimiliki menjadikan Gunung Keriang antara destinasi rekreasi dan pelancongan paling popular di Kedah.
Post a Comment