Header Ads

test

MURID TAHUN LIMA CEDERA TERJATUH KETIKA TANGKAP BURUNG DI SILING SEKOLAH


Roslinda Hashim

PADANG TERAP - Seorang murid lelaki Tahun Lima cedera selepas terjatuh dari tingkat tiga ketika cuba menangkap burung merpati di ruang siling sebuah sekolah rendah di daerah ini, pada petang Selasa.

Dalam kejadian selepas tamat sesi persekolahan itu, mangsa dikatakan pulang ke rumah sebelum kembali ke sekolah bagi mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sesi petang.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan, pihak sekolah bertindak pantas mendapatkan bantuan kecemasan sebelum murid terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk menerima rawatan lanjut.

"JPN Kedah turut memastikan kebajikan murid dan keluarga terus diberi perhatian termasuk menyediakan sokongan dari aspek emosi, psikologi, khidmat bimbingan dan kaunseling serta bantuan lain yang bersesuaian.

"Intervensi sokongan emosi juga akan diberikan kepada murid-murid sekolah berkenaan bagi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara," katanya dalam kenyataan media.

Menurut JPN Kedah, aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa menjadi keutamaan, selain pemantauan berterusan akan terus dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Mohd. Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru sekolah berkenaan kira-kira pukul 4 petang yang memaklumkan mengenai insiden tersebut.

Katanya, ketika kejadian, mangsa berada di sekolah untuk menghadiri kelas KAFA sebelum dipercayai memanjat ke ruang siling bagi menangkap burung.

"Mangsa mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar," katanya.

Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kemalangan sendiri dan tiada sebarang unsur jenayah.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan," katanya.

Tiada ulasan