Header Ads

test

SUMBANGAN RAKYAT BIAYAI KOS MAHKAMAH ISU JUDI CECAH RM283,676.31, BUKTI SOLIDARITI RAKYAT


Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Sumbangan rakyat bagi membantu membiayai kos prosiding mahkamah Kerajaan Negeri Kedah berhubung isu pengharaman judi mencecah RM283,676.31, jauh melepasi sasaran RM50,000 yang diperlukan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, jumlah kutipan di luar jangkaan itu membuktikan solidariti rakyat dalam mempertahankan usaha Kerajaan Negeri untuk mengharamkan kegiatan perjudian di Kedah.
Beliau berkata, tabung berkenaan pada awalnya disasarkan hanya untuk mengumpul RM50,000, namun dalam tempoh kurang 24 jam selepas dilancarkan pada 15 Ogos lalu, jumlah sumbangan telah mencecah RM150,000.
“Sambutan daripada rakyat begitu menggalakkan, kutipan terpaksa dihentikan serta-merta pada 16 Ogos selepas Yayasan Kedah Sejahtera (YKS) selaku penyelaras kutipan memaklumkan sasaran yang diperlukan telah dicapai.
“Walaupun dimaklumkan tabung berkenaan ditutup secara rasmi, masih ramai hubungi mahu menyumbang sehingga jumlah keseluruhan terkumpul kini mencecah RM283,676.31,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada taklimat khas penjelasan isu ‘Halangan Pengharaman Judi di Kedah’ di Seri Mentaloon.
Program anjuran Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) itu menampilkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bersama peguam yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud.
Menurut Zulkifli yang juga Pengarah UPDA, sumbangan tertinggi yang diterima ialah RM1,000 dan serendah 10 sen, sekali gus memperlihatkan kesediaan rakyat untuk bersama-sama membantu tanpa mengira jumlah yang mampu diberikan.
“Keseluruhan dana yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Kedah, lebihan kos RM50,000 itu akan diuruskan sebaiknya dengan kebijaksanaan Kerajaan Negeri,” katanya.
Zulkifli memaklumkan, sebaik sahaja berita mengenai keputusan mahkamah dan arahan supaya Kerajaan Negeri membayar kos RM50,000 tersebar, pihaknya menerima pertanyaan daripada rakyat dari seluruh negara yang mahu membantu menanggung kos berkenaan.
“Ramai hubungi dan bertanya bagaimana mereka boleh menyumbang kerana mahu bantu Kerajaan Negeri.
“Selepas perbincangan, dipersetujui supaya YKS bertindak sebagai transit pembayaran untuk mengumpulkan sumbangan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, dana itu akan diurus dan diserahkan kepada pihak berautoriti Kerajaan Negeri Kedah mengikut saluran undang-undang serta tatacara kewangan YKS, bagi tujuan pembayaran kos yang diperintahkan mahkamah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tampil memberikan sokongan dan membantu menanggung kos prosiding mahkamah tersebut.
Tabung berkenaan dilancarkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan mahkamah berkaitan arahan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perniagaan perjudian di negeri itu.
Mahkamah Persekutuan turut memerintahkan Kerajaan Kedah membayar kos RM50,000 berikutan keputusan tersebut.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara berhubung permohonan berkenaan.
Rhodzariah ketika menyampaikan keputusan berkata, Kerajaan Kedah gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.
Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Kedah sebelum ini mengumumkan tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Disember 2021.



 

Tiada ulasan