Header Ads

test

SEPAK TAKRAW KEDAH BANGKIT, SASAR KEMBALI KE PREMIER STL 2028

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR - Sepak Takraw Kedah muncul juara acara utama kategori regu bawah 18 tahun pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026, sekali gus menjadi antara pencapaian penting dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan itu di Kedah.
Menurut Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK), Hazril Zulkifli, kejayaan itu amat bermakna buat persatuan kerana pembangunan sepak takraw di peringkat akar umbi merupakan antara usaha berterusan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kelangsungan sukan itu sehingga ke peringkat Sukan Malaysia (SUKMA) dan pembangunan pemain senior.
“Di peringkat pembangunan inilah bermulanya bakat dikesan dan digilap sehingga menghasilkan pemain berkualiti pada masa hadapan.
“Lebih 30 tahun Kedah tidak pernah menjuarai kategori umur 18 tahun bagi acara utama MSSM bagi acara regu. Terakhir pada tahun 2017 apabila kita menjuarai bawah 12 tahun, manakala tahun lepas (2025) menjuarai acara beregu bawah 15 tahun,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan tahun ini lebih bermakna apabila Kedah sebelum ini yang muncul naib juara acara regu bawah 18 tahun MSSM 2025 berjaya menaiki takhta juara, malah tiga pemain dalam regu emas tahun ini turut mengungguli anugerah Tekong Terbaik, Apit Kanan Terbaik dan Apit Kiri Terbaik.
Jelasnya, bermula awal 2025, PESTAK turut membantu guru-guru di peringkat Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK), yang turut menjadi antara faktor kepada kejayaan tersebut.
Katanya, penglibatan PESTAK dalam usaha berkenaan menjadikan pencapaian itu lebih bermakna kerana persatuan turut memainkan peranan secara langsung dalam proses pembangunan pemain di peringkat sekolah.
Menurut Hazril, Kedah suatu ketika dahulu mempunyai banyak gelanggang komuniti di kampung dan kawasan perumahan yang aktif selain gelanggang di sekolah, di samping kewujudan pelbagai kejohanan dan perlawanan di peringkat komuniti serta negeri.
“Contoh terbaik adalah Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA). Ramai pemain remaja ketika itu di setiap kampung atau daerah di seluruh negeri Kedah menjadikan SUKDA sebagai kejohanan yang berprestij bagi mereka.
“Ini membuatkan ramai pemain ketika itu mencari gelanggang atau kejohanan, tidak kira di mana dianjurkan, untuk berlatih atau mencari pengalaman bermain bagi mematangkan permainan mereka atas usaha sendiri,” katanya.
Tambah beliau, kebangkitan pemain meraih kejayaan demi kejayaan meningkatkan semangat dan keyakinan pasukan Kedah untuk kembali ke pentas Liga Sepak Takraw (STL) pada masa akan datang.
“Target sebenar persatuan untuk ke STL adalah tahun 2028. Penumpuan sekarang adalah lebih terarah kepada membangunkan pemain anak jati Kedah untuk diangkat ke pentas kebangsaan.
“Kita tidak mahu kejayaan sementara. Kita mungkin boleh dapat bajet tinggi untuk STL bagi mencari atau mengimport pemain bertaraf dunia, tetapi ia hanyalah kejayaan atau keseronokan sementara dan tidak memberi impak berpanjangan kepada anak negeri.
“Ramai pemain muda Kedah yang berkualiti digilap, tetapi ia memerlukan sedikit kesabaran untuk membina mereka supaya lebih matang dalam permainan dan setaraf kualiti STL sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Hazril memaklumkan, STL 2026 menjadi antara langkah penting yang dilakukan pengurusan pasukan Kedah apabila membariskan pemain-pemain muda bawah 21 tahun yang berasal dari Kedah, dengan pemain paling muda berusia 18 tahun.
“Persatuan berharap rakyat Kedah dapat bersabar dan bersama-sama menyokong usaha kami untuk membina pemain-pemain anak jati Kedah bagi membawa nama negeri ini ke puncak kebangsaan.
“Persatuan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyertai Premier STL tahun ini yang akan berlangsung pada 7 hingga 11 Oktober depan,” katanya.

 

Tiada ulasan