Header Ads

test

AKSES KE MUZIUM KOTA KUALA KEDAH PERLU DINAIK TARAF, PULIHARA DESTINASI WARISAN SEJARAH


Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Laluan sempit dan jambatan yang terlalu curam menyukarkan akses ke Muzium Kota Kuala Kedah, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengunjung ke destinasi warisan bersejarah itu.
Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, isu berkenaan dibangkitkan beliau dalam persidangan Kamar Khas Parlimen bagi mendapatkan perhatian dan tindakan Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menurutnya, keadaan jambatan sedia ada yang terlalu tinggi dan curam turut menyukarkan bas pelancongan untuk melaluinya, malah berisiko menyebabkan bahagian bawah kenderaan tersangkut.
“Masalah infrastruktur ini menjejaskan akses ke Muzium Kota Kuala Kedah. Laluan jalan yang sempit dan lebar jalan yang terhad menyukarkan pergerakan bas pelancongan serta kenderaan besar untuk memasuki kawasan muzium dengan selamat.
“Kecerunan jambatan sedia ada yang terlalu tinggi dan curam berisiko menyebabkan bahagian bawah kenderaan khususnya bas pelancongan tersangkut,” katanya.
Tambah beliau, keadaan bertambah sukar dengan adanya aktiviti pasar tani dan pasar ikan serta ruang pergerakan kenderaan yang terhad, khususnya pada waktu puncak.
Ahmad Fakhruddin turut menekankan keperluan menaik taraf jalan masuk melalui Tandop Alor Melaka, khususnya laluan ke Muzium Kota Kuala Kedah, perlu diberikan perhatian bagi mengatasi masalah infrastruktur yang sekian lama menjejaskan akses ke lokasi berkenaan.
“Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan mencadangkan supaya permohonan menaik taraf jalan dan jambatan itu dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Kedah serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk penelitian lanjut kerana laluan berkenaan merupakan Jalan Negeri,” katanya.
Selain itu, beliau juga membangkitkan keperluan KKR mengadakan kajian dan pelan pembangunan jambatan baharu merentasi Sungai Kuala Kedah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak.
Bagaimanapun, Ahmad Maslan memaklumkan bahawa setakat ini, belum ada perancangan untuk membina jambatan baharu berkenaan.
“Beliau sebaliknya memaklumkan cadangan menaik taraf persimpangan Jambatan Tok Pasai hingga ke Kampung Balai telah dikemukakan Kerajaan Negeri kepada KKDW menerusi Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Kerajaan melalui KKDW juga telah melaksanakan dan sedang melaksanakan beberapa projek infrastruktur jalan di kawasan Kuala Kedah, termasuk pembinaan jambatan konkrit di Taman Kota Nelayan serta projek jalan pesisir pantai Kuala Kedah-Kuala Jerlun,” ujarnya.
Ahmad Fakhruddin berpandangan, isu tersebut memerlukan penyelarasan dan penilaian susulan antara kementerian dengan Kerajaan Negeri Kedah bagi memastikan penyelesaian sewajarnya dapat dilaksanakan.
“Muzium Kota Kuala Kedah bukan sekadar tapak warisan sejarah negara, malah mempunyai potensi besar untuk menarik pelancong dan merancakkan ekonomi setempat.
“Ia merupakan destinasi warisan sejarah yang menerima kunjungan rombongan sekolah, agensi kerajaan dan pelancong domestik. Kemudahan akses yang baik amat penting bagi menyokong perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
“Justeru, saya akan terus membangkitkan isu kemudahan asas, keselamatan jalan raya dan pembangunan Kuala Kedah kepada pihak berwajib demi kepentingan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan