GESA PERSEKUTUAN PERCEPATKAN KELULUSAN KXP
“HANYA DUA DARIPADA LAPAN SYARAT PERLUKAN TINDAKAN”
Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan digesa mempercepatkan dua kelulusan yang tertangguh bagi
pelaksanaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kargo Kulim (KXP).
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelewatan itu menyebabkan pelabur yang bersedia melabur dalam projek Kedah Aerotropolis itu terpaksa menangguhkan perancangan mereka.
Menurut beliau, dua syarat yang belum dipenuhi berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, melibatkan kelulusan penubuhan aerodrom KXP oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Daripada lapan syarat kelulusan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), enam sudah dipenuhi oleh Kerajaan Negeri, manakala dua lagi memerlukan tindakan di peringkat Persekutuan.
“Pertama ialah lesen aerodrom yang melibatkan TUDM dan CAAM. Kedua ialah Pelan Strategik Aeroangkasa Negara (NASP) yang sedang diuruskan, semua ini kini berada di pihak Kerajaan Persekutuan untuk diuruskan.
“Kita masih menunggu kelulusan lesen aerodrom, proses ini dilihat agak perlahan, dan kita berharap ia dapat dipercepatkan,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, hari ini.
Sanusi berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan proses berkenaan supaya model baharu pembinaan infrastruktur ini dapat dilaksanakan.
“Perkara yang menjadi halangan sekarang ialah kelulusan yang perlu tindakan segera Persekutuan,” katanya.
Menurutnya lagi, perbincangan mengenai projek berkenaan sudah berjalan lama, namun pelaksanaannya bergantung pada penyelesaian kedua-dua perkara tersebut.
Sanusi berkata, setakat ini, Kerajaan Negeri belum menerima sebarang garis masa bagi penyelesaian kelulusan aerodrom mahupun NASP.
“Saya berharap selepas PRU16 nanti, perkara itu dapat diselesaikan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sanusi berkata, Kedah menggunakan pendekatan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi membangunkan infrastruktur KXP, tanpa bergantung pada pembiayaan Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.
Menerusi pendekatan itu, pelabur akan membina infrastruktur dan menyediakan kawasan untuk pembangunan industri, manakala industri yang dibangunkan akan menanggung kos infrastruktur berkenaan.
“Model itu berpotensi menjadi pendekatan baharu pembangunan infrastruktur di negara ini, namun kelulusan yang masih tertangguh menjadi kekangan kepada pelabur untuk meneruskan rancangan mereka.
“Pelabur mahu masuk dan melabur, tetapi mereka perlu menunggu kelulusan terlebih dahulu.
“Mereka sudah bersedia untuk mengeluarkan wang dan melabur, namun tetap perlu menunggu kelulusan sebelum dapat meneruskan rancangan,” katanya.
Post a Comment