Header Ads

test

DOKUMEN PENDAKWAAN BELUM LENGKAP, KES HAIM HILMAN DITANGGUH 4 JANUARI


 Roslinda Hashim

SEREMBAN - Kes pendakwaan terhadap EXCO Kedah, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah masih belum dapat dimulakan apabila satu dokumen tambahan berupa laporan analisis Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) belum diserahkan.
Menurut Haim Hilman, perkara itu dimaklumkan pihak pendakwaan ketika sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa bagi tujuan penyerahan dokumen.
Beliau berkata, ini merupakan kali kedua pihak pendakwaan memaklumkan terdapat dokumen yang masih belum lengkap, selepas perkara sama dibangkitkan pada sebutan kes 30 Julai lalu.
Tambah beliau, sejak didakwa pada 25 Jun 2026, lebih empat bulan berlalu namun dokumen pendakwaan masih belum lengkap bagi membolehkan perbicaraan dimulakan.
Mahkamah menetapkan 4 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan seterusnya.
Haim Hilman diwakili empat peguam yang diketuai Mohd Faizi Che Abu, bersama Dr. Haji Yusfarizal Yussof, Haji Yahaya Othman dan Tajudin Razak.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi menegaskan kesediaannya untuk mengemukakan segala bukti, data dan hujah di mahkamah.
"Saya sudah bersedia untuk mengemukakan segala bukti, data dan hujah saya di mahkamah.
"Politik yang bertanggungjawab menuntut kita menjawab persoalan yang dibangkitkan sejak awal. Jika seorang anak layak ke universiti awam, wajarkah peluangnya ditentukan oleh kemampuan ibu bapanya untuk membayar yuran?" katanya.
Menurutnya, isu peluang pendidikan kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan merupakan perkara yang terus diperjuangkannya.
"Demi anak-anak daripada keluarga kurang mampu, saya akan terus bersuara," katanya.
Pada 25 Jun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas dakwaan menimbulkan kebimbangan orang awam menerusi kenyataannya berkaitan kemasukan ke universiti awam dalam sebuah ceramah.
Mengikut pertuduhan, Haim Hilman dengan niat telah menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang demikian mana-mana orang mungkin terdorong untuk melakukan kesalahan terhadap ketenangan awam.
Antara kenyataan dikeluarkan, 'Apa berlaku di IPTA hari ini? Universiti sedang menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit. Hari ini ada satu pintu masuk kat IPTA, pintu belakang, UPU dia tak layak, UPU dia tak sampai tahap ikut merit dia kalah. Tapi ayah dia orang kaya, keluarga dia ada duit'.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam di Markas PAS Seremban pada 13 Jun 2026.

Tiada ulasan