Header Ads

test

MASJID BUKAN SEKADAR TEMPAT IBADAT, JADIKAN IA PUSAT PEMBANGUNAN MASYARAKAT

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Masjid perlu berperanan lebih luas sebagai pusat pembangunan masyarakat yang bukan sahaja menyuburkan ilmu agama, malah menjadi tempat mendapatkan bantuan kebajikan, bimbingan golongan muda dan penyelesaian masalah kekeluargaan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, institusi masjid merupakan rakan penting Kerajaan Negeri dalam membangunkan masyarakat sejahtera, khususnya ketika berdepan pelbagai cabaran sosial dan ekonomi.
Menurutnya, masyarakat hari ini berhadapan dengan pelbagai isu termasuk tekanan kos sara hidup, konflik kekeluargaan, kesunyian warga emas, masalah kesihatan mental serta gejala sosial yang semakin membimbangkan.
"Apabila masyarakat dihimpit kesempitan hidup, masjid membawa harapan. Apabila anak muda kehilangan arah, masjid memberikan bimbingan. Apabila keluarga berkonflik, masjid menjadi tempat yang mendamaikan.
"Masjid berperanan sebagai tempat yang menerima, membimbing dan membantu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Masjid AlBukhary, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pembangunan yang bukan sahaja mengutamakan aspek ekonomi dan prasarana, malah turut memberi perhatian kepada nilai kemanusiaan, akhlak serta pegangan agama.
Katanya, kemajuan sebenar tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi, sebaliknya turut tergambar menerusi kesejahteraan keluarga, keharmonian masyarakat serta kekuatan nilai moral.
Sehubungan itu, beliau menggariskan lima perkara yang perlu diberi perhatian bersama bagi memperkukuh peranan masjid, antaranya menjadikannya pusat ilmu sepanjang hayat menerusi pengajian al-Quran, kefahaman Islam dan pembentukan akhlak.
Selain itu, masjid perlu menjadi pusat pembangunan belia dan kepimpinan dengan memberi ruang kepada golongan muda menguruskan program serta menyumbangkan idea.
"Masjid juga perlu menjadi ruang mesra belia dengan program ilmu, kepimpinan, kesukarelawanan, kesenian Islam, sukan dan rekreasi yang bermanfaat," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperluas usaha kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya membabitkan golongan asnaf, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga yang memerlukan.
“Dua lagi, ialah memanfaatkan teknologi dan pendigitalan bagi memperluas capaian dakwah serta meningkatkan kecekapan pengurusan, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara masjid, kerajaan, institusi pendidikan, badan masyarakat dan sektor swasta,” katanya.
Menurut Sanusi, kehebatan sesebuah masjid bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah jemaah yang hadir, sebaliknya kemampuan institusi itu membina insan, menyatukan masyarakat dan melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta bertakwa.
"Memakmurkan masjid bermaksud menyuburkan ilmu, mengukuhkan persaudaraan dan menjadikan masjid pusat pembangunan kehidupan masyarakat.
"Masjid yang makmur bukan hanya masjid yang dipenuhi jemaah tetapi masjid yang mampu membawa manfaat kepada manusia," katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menunggu usia lanjut atau ditimpa kesusahan sebelum mendekati masjid, sebaliknya menjadikan institusi itu sebahagian daripada kehidupan sejak muda.
“Jangan tunggu usia lanjut untuk mendekati masjid. Jangan tunggu kesusahan untuk mencari petunjuk Allah. Jangan tunggu jawatan untuk mula berbakti kepada masyarakat. Masjid yang hebat mempunyai generasi pelapis yang mampu menyambung kegemilangannya,” katanya.
Tambah Sanusi, sambutan Jubli Perak itu bukan sekadar memperingati ulang tahun penubuhan masjid berkenaan, sebaliknya menjadi ruang untuk menilai perjalanan lalu dengan penuh kesyukuran serta merancang masa depan dengan cita-cita lebih besar.
“Tempoh 25 tahun bukanlah singkat kerana meskipun generasi datang silih berganti, masjid tetap menjadi tempat umat Islam menundukkan diri kepada Allah SWT.
“Apabila seseorang diuji, masyarakat lain perlu bantu. Apabila keluarga memerlukan sokongan, institusi masyarakat perlu mencari penyelesaian bersama,” katanya.

Tiada ulasan