Header Ads

test

STATUS TERKINI KXP ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor membentangkan status Kulim International ...


STATUS TERKINI KXP ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor membentangkan status Kulim International Airport (KXP) terkini di dalam Bajet 2021 Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini. Menurut Haji Sanusi, terdapat lapan syarat dalam pelaksanaan KXP antaranya projek ini boleh dilaksanakan dengan pematuhan kepada National Airport Startegic Pelan (NASP) terlebih dahulu dan projek KXP ini perlu dipercepatkan memandangkan ia terikat dengan Seksyen 4 pengambilan balik tanah yang telah diwartakan dan akan tamat pada Januari 2021. "Dalam mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), saya memohon untuk diberi kelonggaran ataupun dilaksanakan KXP ini seiring dengan pelaksanaan kajian NASP oleh Kementerian Pengangkutan. "Saya dimaklumkan dulu, NASP akan mengambil masa sampai tiga tahun. Tapi saya mohon disegerakan NASP kerana data-data yang akan diguna pakai bagi menyempurnakan NASP ini adalah data-data yang hampir sama dengan dapatan oleh konsultan-konsultan yang telah dilantik oleh KXP," ujar beliau ketika menjawab soalan dari ADUN Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika sidang Dewan Undangan Negeri. Menurut beliau, Kerajaan negeri masih menunggu keputusan berkenaan dengan pinjaman RM1 bilion dari kerajaan Persekutuan. "Kerajaan negeri di bawah pimpinan Mukhriz sebelum ini pernah memohon pinjaman sebanyak RM2.5 bilion dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) untuk kerja-kerja pengambilan tanah tetapi perkara itu tidak dibawa kepada Kabinet, jadi ia seperti tidak dimaklumkan. "Jadi saya telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk memohon pinjaman. Selepas saya rasa permohonan RM2.5 bilion itu tidak mungkin akan diluluskan, saya menulis surat sekali lagi dengan mengubah 'business plan' dengan melibatkan Sime Darby dalam projek ini. "Ini kerana 80 peratus daripada tanah yang terbabit dengan KXP adalah tanah milik mereka. Sime Darby bersetuju untuk terlibat dengan memberikan tanah mereka untuk dibangunkan bersama KXP dan kos pengambilan balik tanah turun daripada RM2.5 bilion kepada RM1 bilion. "Bagaimanapun, jawapan kepada pinjaman RM1 bilion ini pun belum lagi diberi jawapan balas kerana setakat ini, projek KXP ini belum lagi 'lepas' di peringkat MPFN," katanya. Ulas beliau lagi, Kerajaan negeri sedang mempelbagaikan langkah untuk mengadakan hubungan bagi mempercepatkan proses pinjaman RM1 bilion. Sekiranya pinjaman itu tidak diluluskan, Kerajaan Negeri akan mencari inisiatif lain agar menjayakan projek KXP ini dengan lancar. 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' #UrusetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 11/29/2020, 5:00:28 PM 

Tiada ulasan