Header Ads

test

KEDAH MOHON STATUS BEBAS CUKAI LANGKAWI DIKEMBALIKAN


 Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mohon Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula cadangan mengembalikan status pulau bebas cukai sepenuhnya di Langkawi bagi memperkukuhkan jenama pulau peranginan itu sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, status bebas cukai merupakan identiti utama Langkawi sejak sekian lama dan ia menjadi tarikan pelancong domestik mahupun antarabangsa.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bersetuju sekiranya cukai dikenakan terhadap barangan tertentu seperti alkohol dan rokok bagi mengelakkan harga terlalu murah, selain turut mencadangkan kawalan lebih ketat terhadap lesen jualan alkohol.
“Kembalikan status pulau bebas cukai (sepenuhnya) kepada Langkawi. Inilah identiti Langkawi sebagai pulau pelancongan.
“Bagi barangan pengguna lain, ia wajar dikekalkan bebas cukai kerana itulah yang menarik pelancong domestik datang ke Langkawi,” katanya, di sini, hari ini.
Langkawi sebelum ini diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari 1987, sekali gus menjadikannya syurga membeli-belah terutama bagi produk seperti coklat, minyak wangi dan pelbagai barangan lain pada harga lebih murah.
Status ini membolehkan pelancong membeli barangan tanpa cukai.
Bagaimanapun pada 2021, kerajaan memperkenalkan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di pulau tersebut bagi menangani ketirisan hasil akibat penyeludupan, sekali gus menyebabkan Langkawi tidak lagi menikmati status bebas cukai sepenuhnya.
Langkah itu menimbulkan kebimbangan kalangan penggiat industri pelancongan kerana dikhuatiri menjejaskan daya tarikan pulau berkenaan sebagai destinasi membeli-belah.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan menyalurkan 100 peratus kutipan cukai pelancongan kepada negeri-negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau berkata, kutipan cukai pelancongan yang diterima Kedah sebelum ini tidaklah begitu besar.
“Cukai yang kita terima sekitar RM5 juta setahun dan penggunaannya pula disyaratkan khusus untuk tujuan menggalakkan sektor pelancongan.
“Jumlah bagi 2026 belum diketahui kerana negeri hanya akan menerima agihan tersebut pada tahun berikutnya,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun peningkatan peratusan kutipan itu memberi sedikit kesan positif kepada sektor pelancongan negeri, isu pengangkutan feri ke Langkawi perlu diberi perhatian segera.
“Kita minta Kementerian Pengangkutan (MOT) selesaikan masalah perkhidmatan feri ke Langkawi kerana perkara itu berada di bawah tanggungjawab dan kawalan mereka,” katanya.
Pada 5 Mac, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan 100 peratus kutipan Cukai Pelancongan kepada negeri-negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Peratusan ini meningkat berbanding sebelum ini yang hanya sebanyak 50 peratus.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara 2026 bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri di Putrajaya.
Peningkatan ini adalah sebagai usaha menggalakkan negeri-negeri merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

Tiada ulasan