Header Ads

test

RESPONS TERHADAP POJOK MERAK JALANAN AKHBAR SINAR HARIAN 27 JANUARI 2021 Saudara Pengarang. Saya merujuk pojok tulisan Merak ...


RESPONS TERHADAP POJOK MERAK JALANAN AKHBAR SINAR HARIAN 27 JANUARI 2021 Saudara Pengarang. Saya merujuk pojok tulisan Merak Jalanan yang bertajuk 'Jadilah Menteri Besar untuk semua' disiarkan Sinar Harian 27 Januari 2021. Sesungguhnya terdapat banyak kesalahan fakta yang begitu terang lagi nyata dalam tulisan Merak Jalanan yang boleh memberikan gambaran bahawa beliau bukanlah seorang penulis atau wartawan yang cermat. Seawal paragraf pertama beliau menyatakan bahawa 'Sejak beberapa hari lalu, nun jauh di utara Semenanjung tanah air, kecoh mengenai keputusan Menteri Besar Kedah yang membatalkan cuti perayaan Thaipusam di negeri itu'. Istilah 'membatalkan' yang diguna pakai dalam tulisan itu sama sekali tidak tepat dan tidak menggambarkan perkara yang sebenar. Pada paragraf kelima pula, ditulis : 'Mengikut kalendar tahunan, cuti Thaipusam ini merupakan cuti di beberapa negeri, antaranya Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.' Ini disusuli pula dengan ayat: 'Bagaimanapun, cuti peristiwa Thaipusam di Kedah sebenarnya baru diisytiharkan beberapa tahun lalu.' Pada paragraf ketujuh, ditulis: 'Difahamkan, ia sebenarnya cuti yang dijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) jika parti itu berjaya merampas negeri Kedah daripada PAS pada tahun 2013'. Perlu dijelaskan bahawa tidak timbul isu pembatalan cuti Thaipusam kerana Thaipusam tidak pernah dimasukkan dalam senarai cuti umum negeri Kedah. Apa yang ditulis kononnya Kedah termasuk dalam senarai negeri-negeri yang telah menetapkan Thaipusam sebagai cuti umum adalah tidak benar sama sekali. Ada lapan negeri yang tidak memasukkan Thaipusam sebagai cuti umum atau Hari Kelepasan Am mengikut Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) iaitu Kedah, Perlis, Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Sabah dan Sarawak. Manakala negeri-negeri yang menjadikan Thaipusam sebagai hari cuti umum pula ialah Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya. Membatalkan sesuatu yang tidak pernah ada, harap Merak Jalanan boleh menjelaskan bagaimana ia dilakukan? Dalam hal ini, jelas sekali penulis pojok berkenaan cuai atau tidak cermat serta tidak tahu membezakan takrifan cuti umum dengan cuti peristiwa. Cuti umum adalah cuti yang telah diwartakan sebagai Hari Kelepasan Am mengikut akta bagi negeri-negeri yang dinyatakan manakala cuti peristiwa adalah cuti yang dicadangkan, perlu dibawa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri untuk diluluskan. Prosedur atau proses mendapatkan cuti ini perlu dilakukan satu persatu, atau dalam kata lain, tidak boleh sekali lulus dan terpakai sampai bila-bila. Sebagaimana disebut dalam tulisan itu bahawa cuti peristiwa sempena Thaipusam di Kedah sebenarnya baru diisytiharkan beberapa tahun lalu; ia adalah merujuk pada kenyataan media disiarkan 9 Februari 2017, Menteri Besar Kedah pada masa itu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Kedah akan menjadikan Thaipusam sebagai cuti setiap tahun. Apa yang dinyatakan oleh Ahmad Bashah bagaimanapun masih tertakluk bawah takrifan atau peraturan cuti peristiwa, bukan cuti umum yang perlu digazetkan mengikut Akta Hari Kelepasan Am 1951. Dalam kata yang lain, cuti peristiwa tetap terikat dengan peraturan sedia ada iaitu perlu dicadangkan dan diluluskan oleh MMK satu persatu. Ini bermakna apa yang diumum atau dicadangkan oleh Ahmad Bashah pada Februari 2017, bukanlah bermakna ia sah digunapakai hingga hari kiamat. Oleh kerana kenyataan itu adalah komitmen Ahmad Bashah dan kerajaan yang dipimpinnya pada masa itu, maka ia hanya terpakai dalam lingkungan masa beliau menjadi Menteri Besar sahaja. Ada kemungkinan jika beliau masih Menteri Besar Kedah pada hari ini, dengan kenaikan kes jangkitan COVID-19 yang begitu membimbangkan,kerajaan Ahmad Bashah juga tidak meluluskan cuti peristiwa Thaipusam pada tahun ini sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Menteri Besar sekarang, Muhammad Sanusi Md. Nor. Ini kerana, sebagaimana yang dijelaskan awal tadi, cuti peristiwa bukan cuti tetap atau cuti tahunan yang mesti diberikan setiap kali tiba harinya. Dengan itu, kenyataan konon Menteri Besar memutuskan untuk membatalkan cuti Thaipusam di Kedah adalah suatu tuduhan yang tidak berasas. Dalam membuat keputusan ini, perlu difahami bahawa setiap keputusan tidak dibuat secara individualistik. Ia diputuskan dalam MMK setelah meneliti dan memberi pertimbangan terhadap data-data daripada pelbagai pihak yang berautoriti terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan. Justeru, keterkaitan isu ini dengan politik adalah bukan di pihak Menteri Besar Kedah tetapi oleh pihak-pihak lain yang bermotif untuk mendapatkan laba atau perhatian dengan membangkitkan isu-isu sensitif yang berunsur kaum dan agama. Sebagai wartawan sebuah akhbar yang mempunyai kredibiliti, Merak Jalanan seharusnya berhati-hati untuk menulis berkaitan hal-hal yang berkait dengan sensitiviti agama, tidak membuat tuduhan melulu, mempunyai pengetahuan yang mencukupi serta tidak bersikap jalanan meskipun menggunakan nama pena Merak Jalanan. Menulis tanpa pengetahuan dalam perkara yang seperti ini adalah membahayakan serta membawa kepada suatu keadaan yang kita sendiri tidak dapat duga. Keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Kedah dalam hal ini adalah keputusan yang penuh pertimbangan. Bukan ahli politik sahaja yang terbabit dalam proses itu malahan juga pegawai tertinggi pentadbiran negeri. Dalam kenyataan susulan, Menteri Besar sendiri ada menyatakan bahawa mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan Kerajaan Kedah adalah lebih baik memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan Thaipusam sebagai Hari Kelepasan Am di semua negeri. Jelas, ia semata-mata keputusan pentadbiran, tidak ada kaitan sama sekali dengan politik, apa lagi elemen diskriminasi. Sekian. Terima kasih. MUHAMAD MAT YAKIM Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah #UrusetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 2/2/2021, 9:00:15 AM 

Tiada ulasan