Header Ads

test

MEREALISASIKAN KEWUJUDAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KULIM


MEREALISASIKAN KEWUJUDAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KULIM

Oleh: Zulkifli Yahaya

Tidak dinafikan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) akan memberi kesan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Sebahagian besar urusan kargo bagi produk yang dihasilkan di Utara Semenanjung akan beralih ke KXP. Segala fasiliti adalah terbaru, keluasan yang lebih besar, di samping perhubungan lebuhraya yang lebih selesa akan memberi kelebihan kepadanya. Sedangkan LTAPP terperangkap dalam lokasi yang terhad untuk dibesarkan.

Namun kewujudan KXP tidaklah bertujuan untuk melakukan sabotaj terhadap ekonomi Pulau Pinang. Ia tiada kaitan langsung dengan ‘konfrontasi’ antara Menteri Besar Kedah dengan Pulau Pinang yang sering disensaikan pihak media dalam pelbagai isu, khususnya isu air mentah.

KXP bukan cetusan idea Haji Muhammad Sanusi Md Nor, sebaliknya pertama kali diumumkan oleh Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir sewaktu menjadi Menteri Kedah di zaman BN. Apapun hasrat awal mereka ketika itu disandarkan kepada dana Kerajaan Persekutuan, yang dikatakan menjanjikan RM1.6 bilion untuk tujuan pembinaan KXP.

Mukhriz dijatuhkan oleh Kem Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah selepas 33 bulan berkuasa. Apabila beliau kembali semula menjadi Menteri Besar selepas PRU14, lansdskap politik negara sudah berubah. Perdana Menteri adalah bapanya sendiri dan Menteri Kewangan adalah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang hampir pasti tidak merestui kewujudan lapangan terbang antabangsa baharu yang memberi saingan kepada Pulau Pinang. Namun hasrat mewujudkan KXP tidak pernah terhenti apabila beliau mensasarkan tahun 2024 sebagai permulaan operasi. Apapun ketika itu garis permulaan KXP masih lagi kabur.

Apabila Sanusi menyambung pentadbiran kerajaan Negeri Kedah pada Mei 2020 beliau mengumumkan bahawa semua projek besar berimpak tinggi akan diteruskan. Bermakna tiada halangan pada penerusan KXP.

Pada bulan Ogos 2020, Kerajaan Negeri memohon untuk membentang projek KXP dalam Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN). Menurut Akta, semua projek yang melebihi 50 hektar mestilah mendapat kelulusan dari MPFN. Namun, Kementerian Pengangkutan pula belum bersedia menyebabkan pembentangan ditangguhkan. Akhirnya pada bulan November 2020, pembentangan projek KXP oleh Kerajaan Negeri Kedah berjaya dibentangkan dalam MPFN. Hakikatnya, itulah kerja pertama yang mempamerkan kesungguhan untuk pelaksanaan KXP. Ia berlaku semasa Sanusi memimpin Kerajaan Negeri Kedah.

Langkah pertama itu lulus! Namun dengan lapan nasihat, yang agak rumit tetapi mampu diatasi, dengan izin Allah. Antaranya perlu mendapatkan kelulusan dari National Airport Strategic Plan (NASP) yang akan melakukan kajian terlebih dahulu. Pihak Negeri Kedah memohon supaya data-data kajian yang dibuat oleh KXP Holding selama ini turut diguna pakai oleh NASP. Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) selama ini telah melakukan kajian terperinci yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM21 juta.

Langkah berikutnya ialah melantik pemaju. Faktor utama terhadap pemilihan pemaju tentulah keupayaan kewangan. Kepakaran juga boleh dibeli dengan wang. Bagi pihak pemaju pulak mereka keberatan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang semata-mata kerana pulangan terhadap pelaburan hanya boleh berlaku selepas 30 tahun. Mereka perlu diberi peluang untuk meneroka projek-projek sampingan yang turut terangkum dalam pakej KXP.

Kerajaan akhirnya telah mengenalpasti syarikat yang mampu membiayai projek bernilai RM12 billion tersebut, iaitu ECK Group of Companies. Kerajaan ada tanah atau ada hak untuk pengambilan balik tanah. Pemaju ada modal. Situasi win-win yang dicadangkan ialah kewujudan syarikat usahasama melalui pegangan saham yang diputuskan iaitu; 20 peratus Kerajaan Negeri dan 80 peratus syarikat tersebut.

Sebelum kewujudan syarikat usahasama ada perkara yang dituntut dari syarikat berkenaan. Syarikat kena membayar balik kepada Kerajaan Negeri kos penyelidikan KXP yang dijalankan oleh PKNK. Harga siling kos ialah RM25 juta (sehingga kini RM21 juta telah dibelanjakan) tepi kerajaan menuntut RM27 juta. Syarikat bersetuju membayarnya.

Syarikat tersebut juga dikehendaki membiayai kos pengambilan balik tanah berkeluasan 9,800 ekar bernilai RM2.1 billion. Harga tanah adalah mengikut pasaran semasa. 80 peratus dari keluasan tanah tersebut adalah milik Sime Darby, manakala 20 peratus milik penduduk tempatan.

Untuk maklumat, sebelum ini kerajaan telah membuat permohonan pinjaman (soft loan) dari Kerajaan Pusat sebanyak RM2.1 billion bagi tujuan membiayai pengambilalihan tanah tersebut. Pusat menjelaskan bahawa mereka tiada keupayaan. Lalu, Negeri memohon pula RM1 billion dari Pusat untuk membuat pengambilan bahagian tapak lapangan terbang sahaja. Namun jawapan tetap mendukacitakan.

Syarikat pemaju tersebut bersetuju untuk membiayai kos pengambilalihan balik tanah, bahkan berjanji akan mendepositkan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM6 bilion, bukan setakat RM2.1 bilion yang diminta. Alasan mereka sendiri, jika syarikat tidak memiliki RM6 bilion maka projek tidak boleh dimulakan. Syarikat diberi masa tiga bulan untuk melunaskan perkara tersebut sebelum perjanjian penubuhan syarikat usahasama dengan Kerajaan Negeri ditandatangani. Setakat ini mereka telah mendepositkan sebanyak RM1 bilion. Begitulah telitinya kerajaan pimpinan Sanusi mengatur perjalanan ke arah merealisasikan kewujudan KXP.

KXP dicetuskan semasa kerajaan BN, dibuat kajian dan penelitian semasa kerajaan PH dan insyaAllah akan direalisasikan dibawah kerajaan pimpinan Muhammad Sanusi Md Nor. Dari aspek politik, semua parti pernah mengelolainya namun tidak bermakna pihak-pihak yang sebelum ini pernah bersetuju akan kekal bersetuju.

Sudah ada cakap-cakap di kalangan segelintir pembangkang yang mempersoalkan pengambilan balik tanah milik orang Melayu kononnya untuk diserahkan kepada syarikat bukan Bumiputera. Tiba-tiba mereka yang selama ini agak liberal terhadap perjuangan bangsa, berubah wajah menjadi ultra-Melayu.

Syarikat usahasama yang jika berjaya diwujudkan nanti, masih meletakkan kepentingan Kerajaan Negeri yang memegang saham 20 peratus. Orang Melayu terbabit tiada hilang hak kerana setiap inci tanah yang diambil akan dibayar, di samping mereka akan dicadangkan penempatan baharu. Dalam semua hal, kerajaan masih memegang kuasa politik untuk menetapkan polisi.

Realiti di Malaysia selepas 64 tahun merdeka, syarikat-syarikat besar adalah milik bukan Bumiputera. Kita mempunyai pilihan untuk terus mundur asalkan syarikat bukan Bumiputera tidak maju. Sewaktu kita berdendam dan irihati terhadap bangsa lain, mereka terus maju juga walaupun tanpa kita. Hakikatnya, kita sahaja yang ‘syok sendiri’ di bawah longkong tempurung ciptaan sendiri untuk kononnya mampu menyekat pihak lain dari merebut peluang ekonomi.

Bukankah lebih baik semua peluang ekonomi direbut bersama oleh keluarga rakyat Malaysia. Pakej KXP akan wujud bersama 5 ribu ekar kawasan industri. Jajaran baru perhubungan darat yang melalui KXP akan melengkari semua kawasan, termasuk bahagian Kedah Timur yang selama ini ketinggalan. Dari aspek prasarana air, kerajaan sedang membina serentak lima buah logi rawatan air di Kedah, dijangka siap pada 2023. Selepas itu isu air tidak berbangkit lagi. Kewujudan Pelabuhan baharu Yan yang diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan akan melengkapkan lagi penguasaan ekonomi di Utara Semenanjung. Semuanya berpusat di Kedah. Bayangkan limpahan ekonomi yang akan berlaku dengan pesatnya. Peluang pekerjaan, peluang perniagaan terbuka luas. Anak-anak Kedah di bidang professional boleh bekerja di negeri sendiri, tak perlu lagi berhijrah ke Lembah Kelang.

KXP akan mewujudkan antara 15,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. Di samping ianya menyumbang sebanyak RM1.186 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar pada tahun 2026.

KXP juga akan memainkan peranan besar dalam mengubah Kedah menjadi hab industri dan e-dagang halal untuk rantau Asean selain menyumbang kepada industri farmasi dan kargo. Lapangan terbang ini akan menjadi pusat pemulihan industri penerbangan dan pusat operasi bencana serantau kerana kedudukannya di tengah-tengah Asia Tenggara.

InsyaAllah selepas kewujudan KXP, Kedah akan muncul sebagai kuasa baharu ekonomi di Utara Semenanjung.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

Tiada ulasan