Header Ads

test

PELANCONGAN LANGKAWI DIBUKA SEMULA


PELANCONGAN LANGKAWI DIBUKA SEMULA

LANGKAWI - Kerajaan negeri menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memilih Langkawi sebagai destinasi pelancongan pertama yang dibuka melalui projek rintis gelembung pelancongan (travel bubble). 

Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tahun 2020 Langkawi telah mengalami kerugian sebanyak RM700 juta jika dibandingkan dengan jumlah pendapatan pada tahun 2019 sebanyak RM1.7 billion. 

"Kerugian ini disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia yang bukan hanya menjejaskan kesihatan awam malah menjejaskan pertumbuhan ekonomi global. Saya yakin perancangan, keputusan dan tindakan pembukaan semula sektor pelancongan ini telah kita perhalusi sebaik-baiknya. 

"Perkara ini penting bagi menyeimbangkan keperluan kedua-dua elemen utama iaitu kehidupan (seperti keselamatan dan kesihatan) dan mata pencarian semua pihak yang terlibat," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika ucapan Majlis Pelancaran Inisiatif Pelancongan Sempena Pembukaan Semula Pulau Langkawi Sebagai Destinasi Rintis Pelancongan Domestik di Langkawi International Convention Centre (LICC) hari ini. 

Dalam perkembangan yang sama, di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Haji Nasaruddin Abdul Muttalib telah merangka satu pelan jangka pendek yang dinamakan sebagai Langkawi Tourism Recovery Plan (T-REC) 2021-2022. 

"Melalui T-REC ini, LADA dengan sokongan agensi serta pemain industri kini sedang mempersiapkan Langkawi bagi mengembalikan keyakinan pelancong untuk bercuti di pulau ini. 

"LADA mengambil tindakan awal dengan melaksanakan tiga inisiatif yang bakal dilancarkan pada malam ini. Inisiatif tersebut ialah Program MySafe Langkawi, Hotline Pembukaan Semula Langkawi dan Market Place iaitu portal mempromosikan pakej pelancongan,"ujarnya lagi. 

Katanya, beliau yakin dengan usahasama MOTAC dan LADA ini akan menjadikan Langkawi contoh kejayaan pelaksanaan 'bubble travel' ini. 

"Saya juga ingin mengingatkan kepada semua yang ingin melancong ke Langkawi supaya sentiasa menitik beratkan aspek pematuhan SOP dan kawalan kendiri sepanjang berada di pulau peranginan ini. 

"Hal ini amatlah penting bagi mengelakkan Langkawi menerima nasib yang sama seperti Phuket di Thailand yang terlebih dahulu dibuka namun kini terpaksa ditutup kembali susulan penularan COVID-19," tegasnya.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA 
#MBKedah 
#langkawi 
#motac

Tiada ulasan