Header Ads

test

WANITA TERTUA DI KEDAH TERIMA ANUGERAH


WANITA TERTUA DI KEDAH TERIMA ANUGERAH

Panjang usia itu merupakan suatu kenikmatan buat seorang hamba Allah. Di Kedah hari ini, rekod wanita tertua di negeri Kedah disandang oleh Hajah Mardzi Binti Hj Abu Bakar yang dilahirkan pada 9hb september 1913, di Kampung Haji Kudong, Pantai Merdeka, Kedah. Usianya kini 108 tahun. Beliau merupakan anak ketiga dari enam adik beradik yg terdiri dari empat lelaki dan dua perempuan.

Hajah Mardzi telah berkahwin dengan orang sekampungnya, Allahyarham Hj. Marzoki Bin Hashim di anggaran usia 18 tahun dan dianugerahkan 8 orang anak,30 orang cucu dan 11 orang cicit. Perkahwinan di usia muda menjadikan masa remajanya banyak dihabiskan untuk menguruskan rumahtangganya.

Sepanjang kehidupannya, beliau tidak pernah menerima pendidikan formal, namun beliau tidak pernah melepaskan peluang mengikuti pengajian agama yang ada di kampungnya. Bersama suaminya, beliau membanting tulang mengusahakan sawah padi untuk menyara ahli keluarga.

Baru-baru ini sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah, Hajah Mardzi secara rasmi dinobatkan sebagai Anugerah Warga Emas Tertua Negeri Kedah Kategori Wanita. Sumbangan telah disampaikan oleh Yb Halimaton Shaadiah Saad, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Negeri Kedah bersama ADUN Pantai Merdeka YB Ust Ahmad Fadzli Bin Hashim, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Shaballah Zainal Abidin serta kakitangan JKM Negeri Kedah.

Semasa sesi ziarah penyampaian anugerah tersebut, banyak cerita-cerita pengalaman beliau yang disingkap kembali terutama mengingati kehidupan semasa penjajahan Jepun. Kehidupan semasa zaman tersebut sangat menakutkan tertutama jika Jepun masuk ke kampung. Masyarakat melarikan diri dan bersembunyi. Radio tidak boleh digunakan.

Banyak detik cemas yang masih kukuh diingatan beliau antaranya, beliau sendiri pernah hendak menyelamatkan anak perempuannya dengan menyorokkan anak di bawah timbunan sabut. Ada ketika, tentera Jepun datang semasa beliau berada di dalam masjid, pihak jepun dengan sengaja mengambil jam tangannya dan menghempas ke lantai sehingga jatuh berkecai.

Semasa sesi ziarah tersebut, beliau kelihatan masih kuat untuk meneruskan kehidupan. Sejak peninggalan suaminya, beliau begitu menghargai jasa anak lelakinya yang sangguh berhenti kerja semata-mata untuk menjaganya di rumah milik arwah suaminya. Sungguh hebat pengorbanan seorang anak buat ibunya.

Semoga urusan kehidupan Hajah Mardzi sekeluarga terus dipermudahkan Ilahi dan dikurniakan kebahagian serta kesihatan yang baik hendaknya.

Menyoroti rekod sebelum ini, Kedah memang dikenali sebagai penyumbang kepada statistik warga tertua Malaysia. Sebelum ini Puan Ahmad dari Kampung Bendahara, Kodiang, Kedah telah menjadi individu tertua di Malaysia. Puan Ahmad telah meninggal dunia pada 28 April 2017 pada usia 121 tahun.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

Tiada ulasan