Header Ads

test

ADUN TANJUNG DAWAI SOKONG PENDEKATAN KEDAH HARAMKAN JUDI,ARAK ALOR SETAR


ADUN TANJUNG DAWAI SOKONG PENDEKATAN KEDAH HARAMKAN JUDI,ARAK

ALOR SETAR – ADUN Tanjung Dawai, YB Ustaz Hanif Ghazali menyokong penuh pendekatan kerajaan negeri Kedah yang akan mengharamkan operasi semua kedai perjudian nombor ekor dan menghadkan penjualan arak di Kedah.

Katanya, kita sebagai orang Islam perlu menyedari lima maqasid syariah yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Adakah dengan perjudian ini akan terjamin bahawa kita berkemampuan untuk menjaga harta dan keturunan kita bahkan juga akal, agama dan nyawa? Tentunya apa yang boleh kita dapati, kesan daripada aktiviti yang tidak baik ini akan menyebabkan berlakunya kegoncangan dalam rumah tangga.

“Sebagai contoh, rumah tangga bergoncang apabila ketua keluarga terpaksa mendapatkan duit untuk berjudi dan sanggup mendapatkan duit tersebut melalui ah long (pinjaman tidak berlesen). Kita boleh bayangkan bagaimana aktiviti ini boleh menyebabkan adanya anak, isteri yang digadai oleh suami, ayah demi melunaskan hutang akibat daripada aktiviti ini.
“Saya tidak nafikan bahawa untuk membanteras perjudian haram yang tidak berdaftar adalah sesuatu tindakan yang susah, tetapi kita perlu berusaha sedaya upaya kita terlebih dahulu dengan kemampuan-kemampuan yang ada,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Maklum beliau, beliau turut menyokong kenyataan kerajaan menghadkan penjualan arak sebagai langkah menjamin kewarasan akal fikiran rakyat.

“Satu kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa arak adalah punca 13 kali ganda faktor kemalangan jalan raya dan menyebabkan kematian.

“Maka hasrat kerajaan untuk menghadkan penjualan arak ini perlu disokong supaya tidak berlaku penjualan bebas contohnya di Langkawi sehingga anak-anak muda boleh beli dengan bebas minuman yang tidak sepatutnya mereka minum,” jelas beliau.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

Tiada ulasan