Header Ads

test

KESEPAKATAN TERAS UTAMA PENCAPAIAN KERAJAAN NEGERI


KESEPAKATAN TERAS UTAMA PENCAPAIAN KERAJAAN NEGERI

ALOR SETAR – Kesepakatan antara kepimpinan negeri dan pegawai tadbir dalam melaksanakan tugas dapat dilihat dengan kejayaan yang diperoleh di bawah kepimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut ADUN Sungai Limau, YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat beliau simpulkan 10 perkara yang patut dibanggakan hasil kerja gandingan mantap itu.

“Yang pertama, kutipan hasil pada November yang menghampiri anggaran iaitu 87.38% dan dijangka boleh capai lebih daripada 90% anggaran pada penghujung tahun 2021.

"Yang kedua, jumlah pelaburan di Kedah yang tertinggi berbanding negeri-negeri yang lain iaitu RM43.6 bilion. Di saat COVID-19 melanda, kerajaan negeri menyediakan bantuan kepada rakyat yang dilaksanakan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat daerah seluruh negeri.

“Seterusnya, prestasi bayaran baucar kurang daripada 14 hari menunjukkan kestabilan kewangan negeri dan juga kecekapan pegawai dalam melaksanakan tugasan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Katanya lagi, rizab kerajaan negeri mencecah RM660.31 juta merupakan suatu pencapaian yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan, kedudukan hutang negeri Kedah pada jumlah terendah iaitu hanya RM 701.49 juta dan kerajaan turut menyelesaikan isu bekalan air dengan menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) yang tertangguh lama sebelum ini.

“Kerajaan turut melaksanakan pemberian projek melalui cabutan undi melibatkan 1598 projek bernilai RM145 juta menjadi tanda aras ketelusan dan juga kecekapan pentadbiran negeri.
"Seterusnya, kerajaan turut meneruskan pelaksanaan projek berimpak tinggi dan menyelesaikan banyak isu-isu teknikal yang berkaitan projek-projek bersangkutan serta melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dengan tema ‘Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni’,” jelas beliau lagi.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

Tiada ulasan