Header Ads

test

JADIKAN MADA PEMBEKAL UTAMA BENIH PADI


JADIKAN MADA PEMBEKAL UTAMA BENIH PADI

ALOR SETAR – Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor memohon Kementerian Pertanian & Industri Makanan Malaysia (MAFI) untuk memberi kebenaran khusus menjadikan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai pengeluar benih utama di Kedah.

Katanya, permohonan ini dibuat bagi menghasilkan benih padi keluaran sendiri yang berkualiti dalam masa yang sama dapat melaksanakan kawalan dengan sistematik disebabkan dengan penularan isu kekurangan benih padi bagi musim penanaman 2/2021.

"Saya telah bercakap dengan pihak MADA untuk memohon agar pihak MADA sendiri yang menjadi pengeluar benih agar kawalan jumlah, kadar dan harga dapat dibuat kerana banyak pengeluar yang diberi hak untuk mengeluarkan padi benih.

“Mereka (syarikat pengeluar benih) tak ada petak (kawasan sawah) pun, mereka kutip benih padi dari merata tempat. Bagi pandangan kerajaan negeri Kedah, seharusnya MADA hasilkan sendiri benih padi yang sesuai di tanam dalam kawasan MADA dan di luar kawasan MADA di negeri Kedah,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Anak Bukit, YB Dato' Wira Haji Amiruddin Hamzah di Mesyuarat Sidang Dewan Undangan Negeri kali ke 14 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Maklum beliau, faktor kekurangan padi di pasaran disebabkan wujud pemilihan benih monovarieti oleh pesawah.

“Kecenderungan pesawah memilih satu varieti sahaja. Bagi penanaman musim utama 2021, kecenderungan pesawah di kawasan Muda adalah untuk mendapatkan varieti MR297 kerana memberi persepsi pulangan yang lebih tinggi daripada varieti lain.

“Secara umumnya, benih padi di pasaran mencukupi sekiranya tidak wujud kecenderungan monovarieti ini. Penanaman padi secara monovarieti adalah tidak digalakkan penggunaannya kerana mendedahkan serangan perosak dan penyakit skala yang besar dan dikhuatiri menjejaskan hasil padi pesawah,” ujar beliau.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

Tiada ulasan