Header Ads

test

KRC BAKAL TERIMA PELABURAN HAMPIR RM5 BILLION











KRC BAKAL TERIMA PELABURAN HAMPIR RM5 BILLION

PUTRAJAYA – Kedah Rubber City (KRC) dijangka akan menarik pelaburan tambahan bernilai hampir RM5 bilion melalui kerjasama antara Hong Seng Industries dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, KRC ini juga bakal mewujudkan lebih 1600 peluang pekerjaan baharu di Kedah dengan nilai pendapatan yang tinggi.
“Bagi saya, pembangunan ini bukan sahaja memberi wajah baharu kepada landskap perindustrian sedia ada di negeri Kedah, malah akan menjana peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada rakyat negeri ini.
“Saya amat optimistik bahawa projek pembangunan berimpak tinggi strategik yang dilaksanakan oleh NCIA ini akan dapat menarik pelabur dari dalam dan luar negara berdasarkan potensi pelaburan jangka panjang dan membawa banyak manfaat kepada ekonomi tempatan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Hong Seng Industries Sdn. Bhd di KRC berlangsung di Zenith Hotel, Putrajaya, hari ini.
Katanya, dengan kerjasama ini universiti-universiti tempatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) juga berpeluang menceburi dalam industri dan penerokaan teknologi khususnya dalam bidang bahan kimia termaju.
“Kerajaan Negeri Kedah memberi komitmen dan sokongan bagi memastikan projek-projek ini dilaksanakan selancar mungkin dalam menjana transformasi Negeri Kedah menjadi sebuah negeri yang mantap dan maju dalam masa terdekat selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035,” ujar beliau.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato' Seri Mahdzir Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan, YB Dato' Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Rakon, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebalsingam Issace John, Pengerusi Bukan Eksekutif Kumpulan Hong Seng, Dato' Seri Chen Chow Min dan Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng, Dato' Seri Teoh Hai Hin.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


Tiada ulasan