Header Ads

test

KEDAH MENDAHULUI PELABURAN SEBANYAK RM43.6B


KEDAH MENDAHULUI PELABURAN SEBANYAK RM43.6B

KUALA LUMPUR – Kedah berjaya menarik pelaburan bernilai RM43.6 billion mendahului negeri lain walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sumbangan terbesar dalam pelaburan ini adalah dari sektor perkilangan iaitu sebanyak RM42.5 bilion manakala RM1.1 bilion dalam sektor perkhidmatan dan industri utama.

Katanya, pelaburan utama tahun ini melalui bidang tenaga boleh diperbaharui oleh syarikat Risen Solar Technology Sdn Bhd.

“Risen Solar Technology ini adalah antara syarikat yang membuat panel solar yang terbesar di dunia. Pelaburan mereka ini adalah pelaburan yang utama di Kedah dan mencatat sejarah di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM42.2 billion di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

“Pelaburan ini akan membuka peluang pekerjaan sebanyak 4,417 yang bakal dinikmati oleh rakyat Kedah khususnya,” ujar beliau ketika siaran langsung Selamat Pagi Malaysia di Radio Television Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Menurutnya, peningkatan permintaan masuk pelaburan membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pembesaran KHTP Fasa 4A dan 5 dengan keluasan 281 hektar bagi menampung permintaan pelabur.

“Saya melihat harga tanah untuk industri di Kedah ini masih murah dan kemudahan infrastruktur yang lengkap. Kita juga melancarkan satu sistem yang mempercepatkan proses untuk kelulusan sesuatu permohonan yang dikenali dengan Permit Pembinaan Express (E10) yang mengambil masa tidak sampai 10 bulan.

“Sistem ini dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kulim (MPK). Saya rasa ini adalah sebab mengapa ramai pelabur yang ingin melabur di Kedah,” jelas beliau.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

Tiada ulasan