Header Ads

test

TAHUN BARU 2022



Assalamualaikum wbkth.

Salam “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua”

Kepada semua warga Kedah Darul Aman yang saya kasihi, tahun 2021 kita tinggalkan dengan 1,001 kenangan. Ada yang pahit, tidak kurang juga yang manis.

Suatu perkara yang kita tidak akan dapat lupakan sepanjang 2021 ialah perjuangan kita membebaskan diri daripada belenggu pandemik COVID-19.

Hingga ke hari ini, COVID-19 masih membelenggu kita walaupun sudah jauh berkurangan.

Kerana itu, jangan kita berasa terlalu selesa hingga mengabaikan SOP penjagaan diri, terutama dengan kehadiran varian Omicron yang sudah masuk ke negara kita.

Untuk tahun 2022, kita mengharapkan keadaan yang lebih baik untuk semua.

Alhamdulillah, ekonomi semakin pulih, dan dengan itu kita berharap seluruh aspek kehidupan kita akan semakin baik.

Kerajaan Negeri Kedah akan terus bekerja keras untuk memastikan kehidupan seluruh rakyat negeri ini sentiasa berada dalam keadaan sejahtera, makmur dan harmoni.

Untuk itu, kerjasama dan permuafakatan semua pihak amat diperlukan sebagaimana kita sering diperingatkan oleh ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Sultanah yang kita kasihi.

Semoga tahun 2022 akan membawa sinar yang lebih gemilang dan dijauhkan daripada musibah bagi seluruh rakyat Negeri Kedah Darul Aman.

Membeli baju di Pekan Selasa,
Hujan lebat dimana-mana,
Andai ada salah dan dosa,
Mohon diangkat segala bencana.

Ke Tasik Beris mendayung sampan,
Langit kelam tiada yang biru,
Segala dosa mohon diampunkan,
Moga tiada musibah di tahun baru.

Baju baru berwarna biru,
Pakai berjalan ke Tasik Beris,
Tahun baru, semangat pun baru,
Moga Kedah bertambah sukses.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Tiada ulasan