Header Ads

test

16 TAHUN PENANTIAN AIR BERSIH BERAKHIR

 


16 TAHUN PENANTIAN AIR BERSIH BERAKHIR

JERAI – Penantian bekalan air bersih selama hampir 16 tahun bagi 400 penduduk di kawasan sekitar Kampung Berjaya, Kampung KEDA Batu 10,Sungai Genuak dan Sungai Perahu di sini berakhir dengan pembinaan Loji Pam Air Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Keda Batu 10, Jeniang.

Ahli Parlimen Jerai, YB Sabri Azit berkata, peruntukan disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang menelan belanja sebanyak RM210 ribu.

“Saya difahamkan bahawa pihak SADA yang menjadi pelaksana dan mendapat kebenaran dari pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi menumpangkan tanah pembinaan rumah pam ini.

“Sebelum ini penduduk perlu menadah air dari lori SADA dan perlu membeli bekas simpanan air untuk keperluan harian mereka. Selain bergantung pada lori air SADA, majlis kenduri kendara juga terpaksa menggunakan ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membekalkan air,” ujarnya.

Seorang penduduk, Aisyah Awang berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan bekalan air bersih yang mula beroperasi ini.

“Jika sebelum ini, mandi susah disebabkan ketiadaan air. Apabila ahli keluarga pulang beramai-ramai, kami mengalami kesukaran air yang terhad,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Nur Syaridah Hasan berkata, mereka hanya akan melakukan rutin harian hanya apabila mempunyai bekalan air.

“Kami sangat bersyukur dengan adanya bekalan air bersih ni. Selama 15 tahun, nak mandi pun air tidak ada hanya mengharapkan air daripada lori.

Kalau lori tidak mai hantar, kami semua tidak akan mandi. Bila bekalan air terputus, kami hanya mampu catu air di dalam tangki untuk kegunaan harian,” ujarnya.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

Tiada ulasan