Header Ads

test

TIGA GLC KEDAH METERAI MEMORANDUM KERJASAMA



TIGA GLC KEDAH METERAI MEMORANDUM KERJASAMA
ALOR SETAR –Permodalan Kedah Berhad (PKB) menandatangani memorandum persefahaman bersama Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melaksanakan projek Gerbang@USM dan Projek Penginapan dan Perumahan Desasiswa.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembinaan projek ini merangkumi 200 unit bilik standard, 156 bilik eksekutif, 44 bilik en-suite dan 20 unit Rumah Kelamin yang boleh menempatkan 1,000 orang pelajar.

“Kos pembangunan kasar bagi kedua- dua projek berjumlah RM47.5 juta dan tempoh pembangunan 36 bulan, saya amat tertarik dengan perancangan projek ini dengan melibatkan komponen-komponen dengan konsep yang moden dan lestari. Saya harap ianya dapat disempurnakan dengan jayanya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Perjanjian di antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah), Universiti Sains Malaysia, Permodalan Kedah Berhad, Hayun Land Sdn. Bhd., Kedah Agro Holdings Berhad dan MHC Trading (M) Sdn. Bhd. berlangsung di Wisma Darul Aman, hari ini.

Tambah beliau lagi, memorandum persefahaman ini turut dimeterai di antara MBI Kedah bersama USM, MBI Kedah bersama Hayun Land Sdn Bhd dan Kedah Agro Holdings Berhad bersama MHC Trading (M) Sdn Bhd.

“Saya menyambut baik hasrat pihak USM di atas kerjasama strategik yang akan dilaksanakan bersama MBI Kedah di dalam industri Tenaga Boleh Diperbaharui, Teknologi Pertanian, bidang Sumber Mineral dan Potensi Perlombongan, aspek Kejuruteraan Bahan melibatkan bahan binaan untuk projek Perumahan Kos Rendah, Pembangunan Modal Insan serta jalinan kerjasama akademik bagi projek-projek yang akan dilaksanakan di Negeri Kedah,” kata beliau.

Beliau turut merakamkan ribuan terima kasih kepada Hayun Land Sdn. Bhd. di atas kerjasama bagi menjalankan aktiviti eksplorasi dan penilaian potensi Sumber Mineral di Kawasan Bukit Kachi, Kubang Pasu, Kedah serta syarikat MHC Trading (M) Sdn. Bhd. dalam pelaksanaan cadangan pembangunan dan operasi Ladang Setelit Nasional di Sungai Laka, Bukit Kayu Hitam yang bernilai RM200 juta.

“Pihak Kerajaan Negeri Kedah akan sentiasa memberi sokongan segala usaha bagi menjayakan projek-projek serta mendoakan agar semua perancangan kita akan memperoleh kejayaan seperti yang dirancang. Semoga usaha kita dirahmati dan mendapat keberkatan Allah S.W.T,” kata beliau.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"


Tiada ulasan