Header Ads

test

KEDAH TAMATKAN LESEN PREMIS JUDI KUAT KUASA AKHIR TAHUN INI


  

ALOR SETAR – Kerajaan negeri bersetuju untuk menamatkan lesen perjudian di Kedah berkuat kuasa pada 31 Disember 2022.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Dr. Mohd Hayati Othman berkata, keputusan ini diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 14 November 2021 untuk tidak memperbaharui lesen tersebut.

 

“Sebelum mesyuarat MMK dibuat, kerajaan negeri telah membuat perbincangan bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi mengetahui status lesen perjudian tersebut.

 

“Umum diketahui bahawa MOF adalah satu-satunya agensi yang meluluskan lesen perjudian, manakala kerajaan negeri boleh mengeluarkan dasar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengawal lesen premis sahaja.

 

“Walau bagaimana pun, MOF telah memaklumkan bahawa pihak kementerian telah memperbaharui kesemua lesen yang dipohon oleh operator sebelum pengumuman oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor pada tempoh hari sehingga 31 Disember 2022,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Mesyuarat Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman, semalam.

 

Katanya, setelah mengambil kira implikasi undang-undang tempoh tersebut diberikan bagi memberi ruang kepada pengusaha lesen untuk mencari alternatif perniagaan lain bagi menjana pendapatan.

 

“Kerajaan juga meminta kerjasama dari PBT, pentadbiran daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi berkaitan supaya membuat pantauan dan penguatkuasaan di negeri Kedah agar tiada aktiviti perjudian menjelang 1 Januari 2023,” jelasnya.

Tiada ulasan