Header Ads

test

ULAMA DAN UMARA PENCORAK MASYARAKAT

 



BALING - Peranan alim ulama tidak harus dikesampingkan kerana merekalah yang akan menasihati umara agar tidak tergelincir dari landasan sebenar iaitu hukum syarak.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ulama dan umara memikul tanggungjawab utama dalam mencorakkan masyarakat.

Hal ini bagi memastikan seluruh kepimpinan dalam pentadbiran negeri teguh di atas landasan Islam. 

"Saya bersama-sama dengan rakan-rakan dalam kerajaan negeri sentiasa memerlukan nasihat dan pandangan tuan-tuan guru sekalian dan para alim ulama yang ada di negeri Kedah ini untuk bekerjasama dalam menasihati kerajaan,”katanya.

Beliau berucap di Majlis Iftar Perdana Bersama Para Tuan Guru Pondok negeri Kedah di Madrasah Misbahul Falah, Baling semalam.

Tambahnya, memperkasakan institusi pondok merupakan agenda besar kerajaan dalam berdepan pelbagai bentuk cabaran kebendaan dan teknologi yang menyebabkan kecenderungan terhadap ilmu-ilmu Islam berkurangan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, para tuan guru pondok masih diperlukan dan berperanan besar dalam mendidik generasi pewaris ilmu serta memartabatkan Islam di bumi Kedah.

“Kita yakin obor Islam tidak akan padam di bumi Kedah selagi adanya tuan-tuan guru yang ada di hadapan saya ini,” kata Sanusi.

Justeru, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM1 juta kepada sekolah agama, maahad tahfiz dan pondok dalam usaha pemulihan selepas terjejas teruk akibat COVID-19.

"Saya sentiasa komited untuk menambahkan lagi jumlah bantuan sekiranya keadaan kewangan kerajaan mengizinkan," ujar beliau.

Dalam majlis yang sama, beliau turut merasmikan Pelancaran Wakaf Kitab Pondok dan penyampaian sumbangan kepada para tuan guru pondok yang hadir.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


#MediaMBKedah 

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

Tiada ulasan