Header Ads

test

382 NELAYAN LANGKAWI TERIMA LESEN SAMPAN KHAS


LANGKAWI – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menerusi Jabatan Perikanan Malaysia negeri Kedah telah meluluskan 382 lesen sampan khas untuk nelayan pantai yang baharu.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Sampan Khas di Pengkalan Kubang Badak pagi ini, Jabatan Perikanan Malaysia memaklumkan, sejumlah RM31.7 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pemilik vesel menangkap ikan di bawah Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan kendalian Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Agrobank.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan ini sebanyak RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) Dasar Jaminan Makanan (DJM) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Terima kasih kepada MAFI di atas peruntukan yang disalurkan ini yang ternyata memberi manfaat kepada nelayan negeri Kedah”, ujar Menteri Besar.

Menurutnya, program ini adalah bertujuan untuk membuka peluang nelayan tradisi menaik taraf dan memodenkan vesel, mekanisasi, peralatan tangkapan yang lebih efisien dan mesra sumber, peningkatan aspek keselamatan dan peningkatan kualiti hasil tangkapan secara langsung dapat meningkatkan pendaratan ikan dan pendapatan nelayan.

“Saya juga menyeru kepada semua nelayan, agar sentiasa menjaga keselamatan semasa beroperasi di laut dan mematuhi syarat-syarat lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia serta tidak menggunakan peralatan yang telah dikenalpasti memusnahkan sumber ikan di laut.

“Peliharalah periuk nasi kita hari ini demi kelangsungan hidup anak cucu generasi akan datang.’’ Ujar Muhammad Sanusi.


 

Tiada ulasan