Header Ads

test

TERMINAL E-DAGANG BUKA LEMBARAN BARU BUAT RAKYAT KEDAH



KUBANG PASU- Projek Terminal E-Dagang Bagi fasa 1 Bukit Kayu Hitam ini bakal membuka lembaran baru untuk rakyat negeri Kedah memandangkan ianya adalah yang pertama di Malaysia secara mod jalan darat.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika merasmikan Majlis Perasmian Projek Terminal E-Dagang KT Express Logistics Sdn Bhd di sini hari ini, pembangunan ini sejajar dengan matlamat negeri Kedah bagi membangunkan Bukit Kayu Hitam sebagai Zon Sempadan Ekonomi Khas.

Tambahnya lagi pelaburan ini dianggarkan berjumlah hampir RM1 bilion secara keseluruhan yang dapat menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai pusat e-dagang antarabangsa.

Jelas Muhammad Sanusi antara kawasan yang menjadi fokus utama hub e-commerce ini ialah Malaysia, Singapura, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Myanmar dan China bagi permulaan.

Fasa satu dijangka akan bermula minggu hadapan dan fasa kedua akan bermula secepat mungkin dalam tempoh setahun setengah. Jangkaan untuk menyiapkan kesemua fasa adalah lima tahun.

Katanya lagi, berdasarkan angka tidak rasmi Invest Kedah Berhad, Kedah telah berjaya menarik pelaburan lebih RM10 billion pada suku pertama tahun ini sekali gus mencapai sasaran pelaburan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Saya yakin dan percaya dengan segala perancangan yang kita lakukan berpandukan Pelan Pembangunan Kedah 2035, kita berada di landasan yang tepat untuk menterjemahkan perancangan ini kepada projek-projek pembangunan demi rakyat di negeri Kedah,” ujar beliau.

Terbaru Ferrotec (USA) Corporation menyatakan komited untuk melabur lebih RM500 juta dalam pelaburan baharu di Malaysia untuk membina kemudahan pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara dengan keluasan 800,000 kaki persegi di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


Tiada ulasan