Header Ads

test

BEKALAN AIR TERUSAN MADA TELAH DILEPASKAN


ALOR SETAR- Bekalan air mentah dari terusan MADA mula dilepaskan pada jam 12.25 pagi semalam berikutan tambakan yang dibina telah siap.

“Enam jam kemudian air telah sampai ke LRA Pokok Sena namun peningkatannya masih tidak cukup untuk mengoperasikan loji terbabit pada malam tadi,” ujar Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor Sanusi dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang dan Jenun beroperasi sepenuhnya.

LRA Bukit Pinang beroperasi seperti biasa pada paras 1.52 meter ‘intake’ semasa. Namun tekanan air masih rendah di kawasan penghujung sistem bekalan air di beberapa lokasi.

Manakala, LRA Jenun Baru telah beroperasi setelah kerja- kerja ‘bypass’ sistem sensor pam air mentah dilakukan bagi memastikan air dapat disedut walaupun paras ‘intake’ semasa 3.90 meter kurang daripada paras optimum 4.0 meter untuk loji beroperasi.

Menteri Besar juga memaklumkan bahawa LRA Pokok Sena telah berlaku peningkatan paras ‘intake’ semasa iaitu 5.30 meter daripada 7.00 meter paras optimum untuk loji beroperasi.

“Walaupun keseluruhan Pokok Sena terganggu, pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat melalui paip dan sekarang kita buat agihan melalui lori,” katanya.

LRA Jenun Lama pula beroperasi hanya 70 peratus kerana mengalami masalah sistem elektrikal dalaman (cable fault).

Rentetan itu, terdapat kawasan yang mengalami gangguan air melibatkan Tangki Bukit Nibong dan Tangki Bukit Jambul.

Muhammad Sanusi turut menyatakan bahawa jumlah peratusan yang terjejas adalah sebanyak 6.42 peratus iaitu melibatkan 38,500 akaun daripada 600,000 akaun di seluruh negeri Kedah.

“Bukan air putus terus cuma terjejas, sat ada sat tak dak,” tambahnya lagi.

Susulan gangguan bekalan air yang berlaku, pihak SADA turut menyediakan tangki jumbo, lori tangki dan tangki statik di beberapa lokasi seperti yang dinyatakan oleh SADA dalam laman facebooknya hari ini.


 

Tiada ulasan