Header Ads

test

MADA, SADA BERTINDAK SEGERA TANGANI ISU BAN PECAH

 


ALOR SETAR - Tindakan segera sedang dijalankan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dengan menambak dan menyekat aliran air bagi meningkatkan paras sungai supaya membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) dapat beroperasi semula.
“Kerja membina semula ban yang runtuh memakan masa yang lebih panjang dan memerlukan kos jutaan ringgit jadi kita cari alternatif yang terpantas iaitu sekatan air sementara,” jelas Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika melakukan tinjauan susulan daripada kejadian runtuhan ban MADA dan terusan tengah pecah di Pokok Sena tengah hari semalam.
Menurut beliau, setakat pagi ini hanya LRA Pokok Sena yang terpaksa ditutup sepenuhnya manakala LRA lain masih dapat beroperasi seperti biasa.
Bagi kawasan yang terjejas, kerajaan telah menyediakan tiga buah lori tangki jumbo dan beberapa lori tangki kecil untuk 13,500 akaun yang terjejas akibat penutupan LRA ini.
Sekatan sementara itu dijangka siap petang ini dan air yang ditakung dilepaskan keesokannya agar LRA dapat kembali beroperasi. Kerja-kerja tambakan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga hari.
Menteri Besar turut menasihatkan penduduk khususnya sekitar Alor Setar, Gurun dan Yan agar berjimat cermat menggunakan air.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada MADA dan SADA yang bertungkus lumus menyelesaikan masalah di luar jangkaan ini.
Terdahulu, SADA telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk pelan kontingensi bagi menghadapi masalah gangguan bekalan air pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
Ini termasuk menyediakan tiga buah lori tangki jumbo yang mampu memuatkan 10 ribu gelen bekalan air, 71 buah lori tangki kecil dengan anggaran muatan sebanyak 800 hingga 1,200 gelen serta Pusat Khidmat Setempat (PKS) di 12 lokasi kritikal.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman

Tiada ulasan