Header Ads

test

UniSHAMS: CORDOBA OF KEDAH

 


SERI MENTALOON- Semua proses pendidikan di Kedah akan terangkum dalam satu konsep kerangka pembangunan pendidikan dikenali sebagai Cordoba of kedah yang berpusat di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).

Konsep ini akan turut melibatkan seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan sekolah-sekolah di seluruh Kedah.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor Sanusi berkata demikian ketika menghadiri program Townhall YAB Menteri Besar Kedah Bersama Mahasiswa semalam.

Jelasnya lagi konsep Cordoba of Kedah ini mengambil inspirasi daripada Cordoba di Andalusia yang telah menyumbang kepada kemajuan tamadun dunia.

Menteri Besar berkata bahawa pembinaan konsep dan modul-modul telah dibangunkan dan mengambil sedikit masa lagi untuk melancarkan satu model pendidikan yang lengkap, komprehensif dan bersepadu yang melibatkan ramai para pendidik dan para cendikiawan.

“Proses ini tidak akan siap sekelip mata kerana Cordoba juga dibangunkan dalam masa ratusan tahun,” ujarnya.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan bahawa menjelang tahun 2023 UniSHAMS akan memiliki kolej kediaman baru yang akan menempatkan seramai 2,000 pelajar.

Katanya lagi UniSHAMS akan mencapai tahap mampu sara diri apabila sudah mencapai 6,500 pelajar. Salah satu cara untuk mencapai target adalah membina kolej kediaman asrama.

“Sekarang kerajaan negeri masih memberikan peruntukan sebanyak RM10 juta setahun kepada UniSHAMS,” ujar Sanusi.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

Tiada ulasan